
Laporan/Foto: Awangku Hamizan / Clarence Chin (Sarawak)
BELAGA, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Di tengah-tengah Pekan Belaga, terdapat sebuah kedai makan yang menyimpan warisan kulinari unik iaitu Kafeteria Mesra Murni.
Kedai tersebut diasaskan pada tahun 1997 oleh Kamariah Kepeli, 58, dan ia adalah perniagaan keluarga.

Kamariah Kepeli, pemilik dan pengasas mi Tajau di Belaga.
Antara tarikan utama di Kafeteria Mesra Murni ialah Mi Tajau, hidangan unik yang hanya boleh didapati di Belaga, khususnya di kedai ini.
“Setakat yang diketahui, Mi Tajau/Labang ini hanya ada di Belaga, khususnya kedai kami dan Idea asalnya datang dari hasil perbincangan suami isteri yang mana kami mahu membuat menu mi perut sapi dalam periuk tanah yang diberi nama mi ‘Claypot’,” jelas Kamariah semalam.
Pada awalnya, hidangan tersebut menerima pelbagai gelaran daripada pelanggan, namun, pada akhirnya nama mi Tajau dipilih kerana ia lebih dekat dengan budaya tempatan.
“Kini menu ini telah berkembang dengan variasi lain seperti Mi Tajau Ikan Labang dan Mi Tajau Ayam,” katanya lagi.
Untuk memastikan kualiti rasa dan kesegaran hidangan, Kafeteria Mesra Murni mendapatkan bahan mentah dari luar Kawasan dan biasanya mendapatkan bekalan bahan mentah yang segar dari Bintulu manakala untuk Ikan Labang ia dibeli dari nelayan darat tempatan.
Tambahnya, cabaran utama bagi mereka yang menjalankan perniagaan di kawasan terpencil seperti Belaga ialah kos bahan bekalan yang lebih tinggi berbanding di kawasan bandar.

Pelanggan menikmati mi Tajau di kedai Kamariah di Belaga.
“Cabaran terbesar dalam mengusahakan kedai makan di kawasan terpencil seperti di Belaga ini adalah dari segi kos bahan bekalan seperti bahan mentah segar, bahan mentah basah dan kering serta gas petroleum kerana harganya mahal jika dibandingkan dengan kawasan bandar,” kata Kamariah lagi.
Walaupun perniagaan ini dijalankan atas usaha sendiri, mereka pernah menerima bantuan daripada kerajaan Sarawak.
“Perniagaan ini mula beroperasi atas usaha sendiri dan pernah sekali mendapat bantuan peralatan seperti peti ais, peti sejuk beku dan mesin membuat ais batu pada tahun 2020 daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC),” kata Kamariah.
Jika anda ingin merasai sendiri keunikan mi Tajau, Kafeteria Mesra Murni adalah destinasi yang wajib dikunjungi apabila berada di Belaga.
-RJ-