
Laporan/Foto: Raja Kamarudin/Noor Zulaikha
JELI, 28 Feb (MalaysiaAktif) – Kampung Kubor Datu di Jeli, Kelantan, mendapat namanya daripada seorang wanita dikenali sebagai Datuk Datu, seorang pengembara dari Hulu Perak yang menetap di kawasan itu sekitar tahun 1950-an.

Yusuf Hassan (Bilal Masjid Kampung Kubor Datu) menceritakan sejarah asal usul nama Kampung Kubor Datu
Menurut Yusuf Hassan, 69, bilal Masjid Kubor Datu, Datuk Datu dikenali sebagai seorang wanita yang gemar mengembara mengikuti arus sungai.
“Beliau berasal dari Hulu Perak dan sering mengembara menyusuri sungai sebelum tiba dan menetap di kampung ini.

Mohd Rafiee (Imam Masjid Kampung Kubor Datu) memberi penambahan dalam penceritaan mengenai asal usul nama Kampung Kubor Datu
“Masyarakat setempat mengenali beliau kerana keperibadiannya yang unik dan keberaniannya menjalani kehidupan secara berdikari,” katanya.
Selepas pemergiannya, sebuah kawasan tanah perkuburan baharu dibuka, dan penduduk kampung bersetuju untuk menamakan kawasan tersebut sebagai “Kubor Datu” bagi mengenang jasa serta keberadaannya di situ.
“Nama Kubor Datu akhirnya bukan sahaja merujuk kepada tanah perkuburan ini tetapi turut menjadi nama rasmi kampung yang terbentuk di sekitarnya,” tambah Yusuf.
Sehingga kini, Kampung Kubor Datu terus mengekalkan namanya sebagai sebahagian daripada sejarah dan warisan yang dihargai oleh penduduk setempat, mencerminkan penghormatan mereka terhadap tokoh yang pernah menjadi sebahagian daripada komuniti tersebut.
-AA-