
Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani/Naif Rajamu/Asrul Affandi Saplie@Awang Safre (Semporna)
SEMPORNA, 28 Feb (MalaysiaAktif) – Program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai mampu mengoptimumkan penyaluran maklumat sahih berhubung pentadbiran dan pengurusan kerajaan kepada komuniti.

Mohammad Syah ketika sesi soal jawab bersama Komuniti Madani pada program tersebut kemarin.
Pegawai Penerangan Daerah Semporna, Mohammad Syah Kisun@Ibrahim berkata, program secara bersemuka ini mendedahkan masyarakat terutama di luar bandar mengenai dasar-dasar kerajaan dan maklumat penting yang perlu disampaikan.
Tegasnya, program ini juga mendidik masyarakat untuk menilai dengan lebih bijak dan menepis naratif tidak benar terhadap kerajaan yang cuba direka oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Melalui peranan Komuniti Madani yang telah ditubuhkan di setiap pelosok kampung dan daerah, kami berharap masyarakat dapat dididik agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan anasir-anasir jahat yang berusaha menjatuhkan imej kerajaan.
“Kami berharap Komuniti Madani dapat berfungsi sebagai platform utama bagi penduduk untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih demi mengekalkan keharmonian masyarakat di Malaysia, terutamanya di Kampung Tagasan,” katanya ketika ditemui dalam Program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai di Kampung Tagasan, di sini kemarin.
Sementara itu, Ketua Komuniti Madani Kampung Tagasan, Mohd. Matusin Talip, 48, menyifatkan program ini sebagai inisiatif yang bermanfaat selain mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat majmuk.
“Program ini memberi impak positif, mengeratkan silaturahim, serta menyampaikan penyaluran maklumat yang efektif mengenai isu-isu semasa.

Edaran bahan penerbitan oleh ahli Komuniti
Kepada peserta program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai di sini kemarin.
“Selain itu, sangat membantu masyarakat setempat dalam mendapatkan pencerahan mengenai dasar kerajaan dan isu-isu semasa yang relevan dengan kehidupan mereka,” katanya.
Manakala Abdul Jamel Abd Maana, 55, dari Komuniti Madani Kampung Amboh-Amboh merakamkan penghargaan kepada penganjur dan Komuniti Madani Kampung Tagasan kerana memberi peluang kepada mereka untuk hadir dan terlibat dalam program berkenaan.
“Program seperti ini perlu diadakan lebih kerap agar penduduk dapat saling mengenali dan memperoleh maklumat yang berguna melalui pengisian yang disediakan,” katanya.
Program melibatkan tiga komuniti, iaitu Kampung Tagasan, Kampung Sungai Gajah dan Kampung Amboh-Amboh ini berjaya menarik penyertaan seramai 100 orang masyarakat setempat.
Program ini turut diisi dengan ceramah, pengedaran bahan penerbitan kepada masyarakat setempat, serta pelbagai aktiviti lain yang mendidik komuniti mengenai tanggungjawab mereka sebagai masyarakat.
-RJ-