Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Peruntukan RM14.62 Juta Perkasa Sekolah Agama Rakyat di Pulau Pinang

By 28 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abdul Waasiek Ahmad Fikri

AIR ITAM, 28 Feb (MalaysiaAktif) – Pendidikan Islam di Pulau Pinang terus diperkasakan dengan pembinaan bangunan baru Sekolah Rendah Islam (KAFA) Masjid Negeri Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menandatangani plak perasmian bangunan baru sekolah

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, berkata aktiviti bagi meninggikan syiar Islam sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan negeri selaras dengan Agenda Pembangunan Agama Islam-Penang (APAI) 2030.

Bangunan Sekolah Rendah Islam (KAFA) Masjid Negeri yang telah siap dibina

“Dua buah sekolah agama rakyat akan siap dibina iaitu Madrasah Al- Ittihadiyah Al-Wataniyah di Cherok Tok Kun dan Sekolah Agama Rakyat Masjid Daerah Seberang Perai Utara di mana kos pembinaan ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” katanya pada Majlis Penyerahan Siap Kerja Projek Membina Bangunan Baru Sekolah Rendah Islam Masjid Negeri, di sini hari ini.

“Manakala sebanyak tiga lagi buah sekolah agama rakyat di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan dan Timur Laut sedang dalam fasa pembinaan menjadikan keseluruhan peruntukan sebanyak RM 14.62 juta daripada kerajaan negeri Pulau Pinang,” ujarnya.

Menerusi APAI2030, anak-anak berusia tujuh tahun hingga 12 tahun di Pulau Pinang dapat menikmati kualiti pendidikan agama yang lebih holistik dan berdaya maju serta relevan dengan persekitaran semasa.

Sebagai makluman, KAFA Masjid Negeri telah menerima peruntukan sebanyak RM 5.73 juta daripada kerajaan negeri bagi pembinaan satu blok bangunan baru lima tingkat yang lengkap dengan 18 bilik darjah serta kemudahan-kemudahan lain seperti parkir kenderaan dan dewan.

Turut hadir adalah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang Marzuki Hassan serta Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang Datuk Ahmad Nadzri Abdul Majid.

-AA-

 

Tinggalkan komen anda