
Laporan/foto: Kalaimani Munian (Kinta)
IPOH, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah MADANI yang diadakan di Bangunan Persekutuan Ipoh di sini semalam menerima sambutan luar biasa daripada orang ramai.
Para pengunjung telah mula membanjiri lokasi seawal pukul 8.00 pagi untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus.

Prngunjung sedang beratur untuk membeli barangan keperluan.
Menurut suri rumah Noraini, 45, program anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Segi Fresh dan Mydin ini dapat membantu rakyat mendapatkan barangan bahan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, sayur-sayuran segar serta barangan runcit lain pada harga yang lebih berpatutan.
“Harga barang semakin mahal sekarang, jadi program seperti ini sangat membantu kami untuk berbelanja dengan berhemah,” ujarnya.
Sementara itu Pavithran Ravi, 52, berkongsi pengalamannya untuk mendapatkan barangan jualan yang jauh lebih rendah harganya berbanding pasaran.
“Saya datang awal sebab tidak mahu terlepas peluang kerana barang di sini lebih murah daripada harga biasa di pasaran seperti beras dan minyak masak,” katanya.

Pelbagai pilihan barang keperluan disediakan dengan potongan harga menarik 10 hingga 30 peratus.
Sementara itu, Pembantu Tadbir Nur Aisyah, 30, turut menyatakan kepuasannya kerana berpeluang membeli barangan dapur dengan harga yang sangat berpatutan.
“Program Jualan Rahmah MADANI ini bukan sahaja membantu meringankan beban pengguna, tetapi juga membuktikan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam usaha menangani kos sara hidup rakyat,” katanya.
Sambutan yang diberikan oleh pengunjung sangat memberangsangkan terutamanya daripada kaum Melayu yang beragama Islam bagi membuat persiapan menjelang bulan Ramadan.
-ZS-