
Laporan/foto: Mohd Radzi Yusof/Mohammad Azam Mat Awi
KUALA KRAI, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Penduduk dari enam kampung termasuk Kampung Kuala Pertang, Tanjung Kala, Sungai Tasan, Mial dan Ulu Manoh berganding bahu dalam program gotong-royong membersihkan tanah perkuburan milik Masjid Al-Solihin, Mukim Kebun, di sini hari ini.
Program anjuran Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Solihin ini mendapat kerjasama daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) serta Komuniti MADANI Kuala Pertang.

Iman Tua Masjid Al Solihin turut hadir.
Dalam suasana penuh keinsafan, program ini bukan sahaja bertujuan membersihkan kawasan perkuburan, malah berfungsi sebagai peringatan tentang kehidupan selepas mati.
Menurut Imam Tua Masjid Al-Solihin Ustaz Mohammad Hamim Muhammad Nawi, 38, aktiviti sebegini memberikan pengajaran rohani kepada masyarakat.
“Program bersih kubur ini sebenarnya mengingatkan kepada kematian, suasana sunyi dan sepi bila berada di alam barzakh di samping azab kubur yang menanti. Mudah-mudahan masyarakat yang hadir mendapat manfaat pengajaran dan iktibar.
“Alhamdulillah, program kemasyarakatan sebegini sehingga ke hari ini masih mendapat tempat dalam kalangan ahli masyarakat tanpa mengira usia,” katanya.
Pengerusi JPKKP Adnan Mat Yassin, berharap lebih ramai golongan muda akan menyertai aktiviti seperti ini pada masa hadapan.

Jamuan ringan disediakan kepada penduduk kampung.
“Untuk program akan datang, perlu ada kaedah menarik lebih ramai golongan remaja turut serta dalam kerja gotong-royong sebegini.
“Secara tidak langsung, ia akan mendidik mereka taat kepada agama dan ianya harus dibuat secara berterusan,” katanya.
Program ini bukan sahaja memelihara kebersihan kawasan perkuburan, tetapi turut memperkukuhkan nilai kekeluargaan, semangat tolong-menolong, dan kesedaran rohani dalam komuniti setempat.
-ZS-