Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

PFST Perkenal Galeri Pameran Digital, Mantapkan Ilmu Falak di Pulau Pinang

By 2 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther/Shamsul Bahari Abd Shukor

BALIK PULAU, 2 Mac (Malaysiaaktif) – Pulau Pinang terus mengorak langkah dalam mengadaptasi teknologi moden dalam penyebaran ilmu falak dengan pelancaran Galeri Pameran Digital Pusat Falak Sheikh Tahir (PFST) yang telah dinaik taraf dengan elemen interaktif dan digital.

Tetamu jemputan mendengar penerangan daripada Datuk Dr. Abdul Halim AJK Rukyah Hilal Negeri Pulau Pinang.

Perasmian galeri tersebut serta Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1446H disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, di sini kelmarin.

Dalam ucapannya, Dr. Mohamad menegaskan bahawa pemodenan galeri ini merupakan langkah proaktif untuk menghidupkan kembali kegemilangan ilmu falak di Pulau Pinang melalui pendekatan yang lebih interaktif dan mesra teknologi.

“Dalam pembangunan modul Institut Latihan Islam Pulau Pinang (ILIPP), ilmu falak merupakan salah satu cabang ilmu yang akan dikembangkan dengan kerjasama di antara PFST dan ILIPP, dengan sasaran membawa semula kegemilangan ilmu ini di Pulau Pinang,” katanya.

Tetamu kehormat dan ahli-ahli falak bersedia untuk membuat cerapan.

Galeri digital ini dijangka menjadi daya tarikan bukan sahaja kepada penyelidik dan pelajar tetapi juga masyarakat umum serta pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus menjadi pemangkin kepada perkembangan astronomi Islam dan pendidikan Islam di negeri ini.

Selesai perasmian, Dr. Mohamad turut menyertai Majlis Rasmi Cerapan Hilal Ramadan 1446H, menyaksikan detik bersejarah penetapan awal Ramadan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Zulkifli Long dan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang Sahibus Samahah Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman.

-ZS-

Tinggalkan komen anda