
Laporan/foto: Rosli Muhammad/Azmi Abd Rahman
PASIR PUTEH, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Program Perjanjian Jual Beli Forward Agreement (FA) bagi hasil tanaman tembikai di Kampung Haji Wan Omar, Tok Bali, di sini membuktikan kejayaannya dalam menjamin pasaran hasil pertanian serta memberikan pulangan lumayan kepada para peserta.
Program ini melibatkan kerjasama antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Anchor Rakan Pemasar Kontrak Pemasar (RPKP) dalam usaha mengatasi masalah lambakan buah tembikai serta menstabilkan harga pasaran.

Simbolik jual beli buah Tembikai antara pihak FAMA dan penanam tembikai.
Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri, berkata perjanjian jual beli hasil pertanian bersama petani di Kampung Haji Wan Omar telah dimulakan sejak tahun 2005.
“Pada peringkat awal, hanya tujuh peserta terlibat, namun kini jumlahnya meningkat kepada 26 orang.
“Projek tanaman tembikai ini diusahakan di atas tanah persendirian seluas 69 ekar,” katanya.
Menurutnya, penanaman bermula pada 15 Disember tahun lalu dan hasilnya dituai bermula Februari lalu.
“Sebanyak 69,000 pokok tembikai telah ditanam dengan unjuran pengeluaran hasil mencecah 690 tan metrik.
“Selain tembikai, peserta turut mengusahakan tanaman lain seperti tembikai susu, labu, dan sayur-sayuran mengikut kesesuaian musim,” katanya.
Tambahnya, program ini bertujuan membantu petani dengan memastikan hasil pertanian dibeli pada harga pasaran yang kompetitif berdasarkan gred yang ditetapkan.

Para tetamu sedang memetik buah tembikai.
“Inisiatif ini juga menyumbang kepada kelangsungan agenda sekuriti makanan negara serta memastikan petani mendapat pendapatan yang stabil.
“Dalam perjanjian FA, FAMA membeli tembikai pada harga RM1.60 sekilogram dan menjualnya di pasaran dengan harga tidak melebihi RM2.00 sekilogram, bergantung kepada permintaan dan keadaan cuaca,” katanya.
Katanya lagi, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada petani dari segi kestabilan pendapatan tetapi turut membantu memastikan bekalan buah-buahan tempatan sentiasa terjamin di pasaran.
-ZS-