Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Bubur Lambuk Pupuk Semangat Perpaduan di Bulan Ramadan

By 3 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Bubur lambuk sememangnya sinonim dengan bulan Ramadan dan menjadi tradisi yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam di Malaysia.

Penyediaannya yang dilakukan secara bergotong-royong bukan sahaja melambangkan perpaduan, malah mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti setempat.

Kiffle menyerahkan Bubur Lambuk kepada salah seorang penduduk secara pandu lalu di hadapan gelanggang futsal, Kampung Tengah.

Selaras dengan matlamat Ramadan yang mengajar erti kesyukuran dan empati terhadap golongan kurang berkemampuan, bubur lambuk bukan sekadar juadah berbuka puasa, malah menjadi simbol kebersamaan masyarakat.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah, di sini semalam telah menganjurkan program agihan bubur lambuk kepada penduduk kampung dan kawasan sekitar.

Sebanyak 500 bungkus bubur lambuk telah diagihkan menerusi kaedah pandu lalu yang berlangsung di perkarangan rumah Pengerusi JKKK Kampung Tengah.

Menurut Ketua Kampung yang juga Pengerusi JKKK Kampung Tengah, Kiffle Morni, 56, aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk telah bermula seawal pukul 10.00 pagi di gelanggang futsal Kampung Tengah.

Katanya, program tersebut bukan sahaja bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan, tetapi juga untuk mengukuhkan semangat kerjasama dalam komuniti.

“Acara gotong-royong ini melibatkan ahli jawatankuasa JKKK dan penduduk kampung, yang bersama-sama menyediakan bubur lambuk dengan penuh semangat kebersamaan.

Kieffli (kanan) mengagihkan kepada salah seorang penduduk di sini semalam.

“Penganjuran acara tahunan ini adalah usaha untuk mengekalkan tradisi yang diwarisi turun-temurun setiap kali tiba bulan Ramadan,” katanya.

Kiffle turut menambah bahawa program seperti ini dapat meningkatkan nilai koperatif dan jalinan ukhuwah dalam masyarakat sambil berharap agar aktiviti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan skala lebih besar serta disertakan dengan pengisian berbentuk keagamaan.

“Pada masa akan datang, kami bercadang untuk menambah baik program ini dengan aktiviti keagamaan seperti ceramah agama dan penyampaian infak kepada golongan asnaf terpilih,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda