
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PWS
SHAH ALAM, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima sumbangan wakaf bernilai RM401,986.55 daripada dua agensi kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).

(Dua dari kiri) Datuk Bandar Shah Alam menyerahkan sumbangan wakaf berjumlah RM50,000.
Tabung Infaq Jariah Umat Islam Negeri Selangor (TIJARI) menyerahkan sumbangan berjumlah RM351,986.55 untuk pembangunan pendidikan.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula menyumbang RM50,000 dalam Majlis Ihya’ Ramadhan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif PWS Anuar Hamzah Tohar, berkata MBSA merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang melazimi ibadah wakaf melalui Wakaf Tunai Korporat PBT.
“PWS menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku Sultan Selangor telah berkenan mencemar duli menerima menghadap pewakaf dan menerima sumbangan wakaf yang telah diserahkan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima replika kunci kenderaan Klinik Bergerak kegunaan Fakulti Pergigian Universiti Malaya daripada WSM.
“PWS menzahirkan penghargaan terima kasih tidak terhingga kepada pewakaf yang telah melaksanakan ibadah wakaf ini, khususnya dalam bulan yang mulia iaitu bulan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan menyaksikan penyerahan replika kunci Klinik Pergigian Bergerak kepada Fakulti Pergigian Universiti Malaya oleh Wakaf Selangor Muamalat (WSM).
WSM adalah hasil kerjasama PWS dengan pihak Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) sejak tahun 2012.
-ZS-