
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
SHAH ALAM, 5 Mac (MalaysiaAktif) – Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengedarkan 500 kupon digital bernilai RM10 melalui Program Platform Selangor (PLATS) Masuk Bazar di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, semalam.

Mohd Najwan menebus kupon digital di salah sebuah gerai minuman yang berdaftar dengan PLATS di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor Mohd Najwan Halimi, berkata pembeli boleh menebus kupon digital tersebut melalui gerai-gerai yang terpilih bagi tujuan menggalakkan pembayaran secara dalam talian.
“Kita ingin menggalakkan penggunaan digital kepada peniaga-peniaga bazar khususnya di Selangor ini untuk mengguna pakai sistem pembayaran secara dalam talian,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Bazar Ramadan sempena Program Ihya’ Ramadan di Shah Alam.
“Ini kerana orang ramai kini lebih selesa menggunakan kad atau sistem QR untuk transaksi berbanding membawa wang tunai ke bazar bagi mengurangkan risiko kehilangan wang,” katanya
MBI turut memperuntukkan RM40,000 melibatkan 4,000 kupon digital yang akan diagihkankan kepada bazar-bazar terpilih sepanjang Ramadan ini.

Duta PLATS sedang mempromosikan kupon digital kepada orang ramai di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam.
Sementara itu, Mohd Najwan turut merasmikan Kempen Keselamatan Makanan bertemakan Elakkan Keracunan Makanan melalui amalan Lihat, Hidu, Rasa dan Perhati dan Pilih yang bertujuan mendidik peniaga dan pembeli mengenai kepentingan memilih gerai yang bersih serta memastikan pengendali makanan mengamalkan kebersihan yang baik.
Kempen ini pertama kali dilaksana bagi memudahkan orang awam menyalurkan aduan berkaitan salah laku dalam penjualan makanan menerusi pelaksanaan kod QR keselamatan makanan.
-ZS-