
Laporan/Foto : Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Bazar Ramadan Satok 2025 yang beroperasi dari 2 hingga 30 Mac 2025 dari pukul 2.00 hingga 7.00 petang setiap hari yang menampilkan lebih 70 buah gerai, terus menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat terutamanya umat Islam bagi mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa seperti kuih-muih, aneka jenis masakan dan minuman.

Zulkifli menjual jualan ikan terubok bakar dan ikan sardin bakar pada harga RM25 hingga RM55 (terubok bertelur) mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
Bagi peniaga pula, penganjuran bazar Ramadan membuka peluang kepada para peniaga untuk menambah hasil pendapatan serta memperkenalkan jenis-jenis masakan yang sukar didapati pada hari-hari biasa.
Salah seorang peniaga kuih bongkol dan tapai nasi yang ditemui, Ayu Sulaiman, 37, berkata pada hari keempat Ramadan, sambutan terhadap kuih bongkol dan tapai nasi jualannya masih mendapat sambutan yang sangat luar biasa daripada pengunjung bazar.
“Saya membuat kira-kira 1000 tapai nasi dan 500 kuih bongkol setiap hari dan biasanya pada jam 4 petang dan selewat-lewatnya 4.30 petang, bongkol dan tapai sudah habis dijual,” katanya ditemui semalam.

Kuih Bongkol dan tapai nasi yang boleh didapati di gerai milik Ayu Sulaiman laris dijual setiap hari.
Menurutnya lagi, harga kedua kuih tersebut (RM2.00 bagi kuih bongkol dan RM0.50 bagi tapai nasi) masih dapat dikekalkan seperti tahun lepas kerana bahan utama seperti daun pisang yang digunakan untuk membuat kuih bongkol dan daun nipah atau lebih dikenali daun apong di Sarawak, diperolehi daripada kebun sendiri.
Bagi pengunjung bazar yang juga seorang pekerja syarikat swasta di Kuching, Syaza Liana, 25, berkata penganjuran bazar Ramadan memudahkannya mendapat juadah untuk berbuka puasa tanpa perlu bergegas balik ke rumah untuk memasak.

Syaza Lina (tengah) bersama dua rakannya sedang memilih kuih-muih untuk dijadikan juadah berbuka puasa.
Katanya, ia adalah kali kedua beliau berkunjung ke bazar Ramadan Satok kerana ia menawarkan pelbagai jenis makanan dengan harga yang berpatutan.
“Kali ini banyak gerai menyediakan pembayaran tanpa tunai atau pembayaran kod QR, kaedah memudahkan saya membuat pembelian tanpa perlu membawa wang tunai,” ujarnya.
-RJ-