
Laporan/foto: Abdul Waasiek Ahmad Fikri/Mohd Zikri Md. Azmara (Timur Laut)
GEORGE TOWN, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited memperkukuh pemahaman masyarakat tentang kewajipan menunaikan ibadah puasa dan menghormati bulan Ramadan menerusi pelancaran Kempen Respek Ramadan.

Ucapan perasmian oleh Dr. Mohamad
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (APAI2030) yang bertujuan meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap kemuliaan Ramadan serta menyeru masyarakat bukan Islam agar menghormati tuntutan agama ini.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, menegaskan bahawa usaha menyeru kepada kebaikan perlu diimbangi dengan langkah pencegahan terhadap kemungkaran.

Edaran poster kempen turut diedarkan
“Dalam aspek penguatkuasaan, Pegawai Penguatkuasa Agama dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) memainkan peranan penting bagi memastikan kesucian Ramadan terus terpelihara,” katanya dalam majlis pelancaran di Masjid Al-Bukhary, di sini semalam.
Dr. Mohamad turut menjelaskan bahawa pematuhan terhadap bulan Ramadan adalah tertakluk di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996, khususnya berkaitan Seksyen 15 (kesalahan tidak menghormati Ramadan), Seksyen 16 (tidak membayar zakat fitrah) dan Seksyen 33 (kutipan zakat tanpa kebenaran Majlis).
Mana-mana individu Islam yang melanggar enakmen ini boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagi memastikan keberkesanan kempen ini, langkah penguatkuasaan turut diperkukuh melalui kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pemantauan rapi akan dijalankan menerusi Operasi OPS Plastik Hitam, yang akan memberi tumpuan kepada 90 lokasi panas (hotspot) di seluruh Pulau Pinang.
Turut hadir dalam majlis pelancaran ini ialah Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Dr. Mohd Sukki Othman dan Pengarah JHEAIPP MarzukiĀ Hassan.
-AA-