
Laporan/foto: Fatkhulmoin Robiki (Hilir Perak)
TELUK INTAN, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Program Undi Padu Fasa 1 Secara Bersemuka Daerah Hilir Perak Tahun 2025 yang berlangsung di sini kelmarin merupakan kesinambungan inisiatif serupa tahun lalu sebagai langkah meneruskan usaha mengukuhkan integriti dan ketelusan dalam sistem perolehan kerajaan.

Haji Mohamad Nor turut hadir menyertai program undi padu
Program yang diterajui oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hilir Perak itu melibatkan undian 70 projek kepada 270 kontraktor kelas G1 Bumiputera yang berdaftar dan merupakan hasil kerjasama strategik antara jabatan di daerah iaitu PDT Hilir Perak, Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Nazirah (kiri) ketika ditemu bual
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu merangkap Setiausaha Politik Ahli Parlimen Teluk Intan Chaw Kam Foon, berkata program yang dilaksanakan ini adalah selaras dengan usaha transformasi kerajaan untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
“Kerajaan sentiasa komited dalam meningkatkan integriti pentadbiran awam melalui pengamalan tatakelola yang baik.
“Proses undian ini adalah satu contoh baik dalam integriti perolehan kerajaan kerana ia diadakan secara telus dan teratur dengan melalui beberapa proses semakan, syarat dan sebagainya,” katanya ketika berucap merasmikan program.
Pegawai Daerah Hilir Perak Mufidah Mahfodz, berkata program ini amat penting dalam usaha memastikan kelancaran dan ketelusan proses undi kerja kontraktor kelas G1 Bumiputera yang akan dilaksanakan di daerah ini.
“Objektif program ini juga antaranya adalah untuk memastikan pelantikan kontraktor dan pengagihan projek kerajaan dalam sektor pembinaan dapat dilakukan secara adil dan saksama dan setiap kontraktor Bumiputera G1 diberikan peluang yang setara untuk membangunkan keupayaan mereka dalam industri ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Daerah Hilir Perak Haji Mohamad Nor Yaakub, berkata proses undi padu ini adalah satu pendekatan baik yang dibuat oleh PDT Hilir Perak.
“Ia memberi peluang sama rata kepada semua kontraktor dan dilihat dapat mengelakkan unsur kronisme dalam pengundian sesuatu projek,” katanya ketika ditemui.
Salah seorang kontraktor Nazirah Jauhari, 55, bersyukur terpilih sebagai penerima projek menyenggara jalan kampung melalui proses undi yang dijalankan.
“Alhamdulillah, projek ini merupakan projek pertama yang diterima pada 2025 selepas tidak berjaya memperoleh projek pada undian tahun lalu kerana lesen kontraktor tamat tempoh,” tambahnya.
-AA-