
Laporan/foto: Amir Rithauddin Roslan (Hulu Selangor)
KUALA KUBU BHARU, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Program Gerak Rahmah – Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan yang diadakan di Pekan Kuala Kubu Bharu semalam bukan sekadar acara memasak, tetapi juga merupakan simbol kepada semangat perpaduan.

Pegawai AADK, JPNIN, KRT & Belia 4B mengangkat periuk bubur lambuk yang telah siap dimasak
Menurut Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Selangor Nor Faizah Kamaruddin, tujuan utama program ini bukan sahaja untuk menyemarakkan semangat Ramadan, tetapi juga untuk mengukuhkan hubungan antara komuniti dan agensi-agensi yang terlibat.
“Program ini bertujuan untuk mengaktifkan peranan KRT di seluruh negara, sekaligus menyemai nilai-nilai keharmonian dalam masyarakat.

Edaran bubur turut diberikan kepada pihak balai-balai Bomba Hulu Selangor
“Kami ingin mewujudkan suasana komuniti yang penuh dengan semangat ihsan, saling menghormati, dan bekerjasama, terutamanya dalam bulan yang penuh keberkatan ini,” katanya yang ditemui semasa gotong royong memasak bubur lambuk semalam.
Lebih 50 sukarelawan daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Hulu Selangor, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Hulu Selangor, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Hulu Selangor, Gerakan Belia 4B bersama-sama melaksanakan gotong memasak bubur lambuk sempena bulan Ramadan.
Sebanyak 500 bekas bubur lambuk diedarkan dalam Program Gerak Rahmah kepada penduduk setempat, pejabat-pejabat kerajaan serta pengguna jalan raya di sekitar Pekan KKB.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, tetapi turut mengingatkan kita tentang pentingnya berganding bahu untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih prihatin.
-AA-