
Laporan/foto: Ismail Hassan (Kota Setar)
ALOR SETAR, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Yayasan Sultanah Bahiyah dengan kerjasama Hospital Sultanah Bahiyah telah mengadakan program khas ‘Jom Menderma Darah’ bertempat di Balai Seni Alor Setar pada 8 Mac lalu dan hari ini.
Program yang diadakan selama dua hari telah berjaya menarik 200 orang responden yang berdaftar untuk menderma darah.

Dr. Idzham Ismail bersama penderma darah yang ke 50 dalam Program Derma Darah anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah hari ini.
Mereka yang hadir adalah terdiri daripada kakitangan Bomba, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan juga orang awam.
Menurut Pengurus Projek Yayasan Sultanah Bahiyah Alor Setar Mohd Nasir Ismail, mereka sentiasa bekerjasama dengan pihak hospital dan juga agensi kerajaan bagi menjayakan program sebegini setiap kali bulan Ramadan tiba.
“Usaha ini bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan semua hospital di negeri Kedah terutamanya menjelang musim cuti perayaan yang panjang,” katanya.
Bulan Sabit Merah Malaysia (BBSM) negeri Kedah turut sama membantu menjayakan program ini.
Ketua Sukarelawan Bulan Sabit Merah Negeri Kedah Abdul Bari Mahmud, berkata tiga orang sukarelawan yang berasal dari Sudan iaitu Osama Mohamed Abuagla, Aya Tariq Salaheldein dan Ram Mohammed Abdelkarim turut sama membantu.

Sebahagian penderma sedang menjalankan ujian saringan bagi memastikan kesihatan ditanam optimum sebelum menderma.
Menurut Pakar Perubatan Transfusi Dr. Idzham Ismail, selain cabaran besar memastikan bekalan darah mencukupi sepanjang bulan puasa, pihaknya juga perlu memastikan bekalan darah berada di paras yang selesa sepanjang musim cuti perayaan yang panjang.
“Perkhidmatan transfusi adalah satu daripada perkhidmatan penting.
“Bekalan darah perlu sentiasa tersedia bagi menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.
Setiap penderma yang berjaya menderma darah dibekalkan pek makanan sebagai penghargaan kepada mereka yang telah sudi menderma darah.
Program berjaya memperolehi 155 beg darah.
“Jutaan terima kasih kepada semua individu yang hadir menyumbang bakti. Derma darah menyelamatkan nyawa,” katanya.
-ZS-