
Laporan/foto:Abdul Hadi Abdul Ghani/Kasan Abd Hakim (Semporna)
SEMPORNA, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Biarpun dipisahkan dari daratan dengan jarak kira-kira satu kilometer di timur bandar Semporna, masyarakat di Pulau Bum Bum tidak terlepas daripada ancaman jenayah siber yang semakin berleluasa.
Dengan memanfaatkan fasiliti internet yang baik, masyarakat di pulau berkenaan berpeluang menyertai Program Kesedaran Keselamatan Siber yang dilaksanakan oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini pada Sabtu.
Pengurus NADI Pulau Bum-Bum, Nur Zarith Sofiah Jal, berkata program berkenaan perlu untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat dengan mendalami panduan asas keselamatan siber serta ancaman penggodam.
“Pada masa yang sama, kursus ini amat menggalakkan penyertaan pelbagai lapisan usia dengan tujuan untuk mengajar amalan keselamatan digital yang baik serta teknik-teknik untuk melindungi maklumat peribadi dalam dunia siber yang semakin berkembang.

Nur Zarith Sofiah menyampaikan taklimat dalam kursus Cybersecurity: Asas Keselamatan Siber di NADI Terusan Pulau Bum-Bum, Semporna sini kemarin.
Kursus ini bukan sahaja memberikan ilmu asas mengenai keselamatan siber tetapi juga memberi pendedahan tentang bagaimana kita dapat mengelakkan menjadi mangsa serangan siber,” katanya ketika ditemui dalam Program NADI X Komuniti MADANI di NADI Terusan di Pulau Bum-Bum berkenaan.
Sementara itu Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Selakan, Kasan Abdul Hakim berpendapat, kursus yang dianjurkan mampu membimbing masyarakat untuk bersikap lebih berhati-hati menggunakan media sosial terutama golongan warga emas.
“Kursus ini memperkenalkan perkara baharu kepada penduduk seperti perisian hasad, virus trojan, keselamatan rangkaian, kriptografi, pencurian identiti dan pengurusan risiko.
“Kehidupan moden bergantung pada perkhidmatan dalam talian, jadi mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai ancaman keselamatan siber adalah sangat penting dan saya berharap agar kursus-kursus seumpama ini terus diperkasakan,” ujarnya.

Kasan (kiri) dan Abdul Muluk (kanan) ketika sesi amali keselamatan kata laluan dalam Kursus Cybersecurity Asas Keselamatan Siber kemarin.
Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Balimbang, Abdul Muluk Mohd Yusup pula, berkata kursus ini memberi panduan khusus kepada masyarakat tindakan awal sekiranya terlibat dalam jenayah dalam talian.
“Kami mendapat banyak pengetahuan dan kemahiran keselamatan siber yang penting terutama cara untuk melindungi daripada jenayah digital, sekurangnya masyarakat tahu apakah bentuk ancaman keselamatan dalam talian yang boleh membahayakan dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko,” katanya.
Untuk makluman, seramai 10 orang daripada Komuniti MADANI Kampung Selakan dan Komuniti MADANI Kampung Balimbang telah mengambil bahagian dalam Program NADI X Komuniti MADANI berkenaan.
-RJ-