
Laporan/foto:Sam Mansibu/Mazlan Bakar (Nabawan)
NABAWAN, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Projek naik taraf Jalan Sapulut ke Pekan Kecil Pagalungan dengan jarak sejauh 38 kilometer, dijangka akan menyuburkan sosioekonomi penduduk di daerah kecil berkenaan.
Perjalanan yang dahulunya mengambil masa tiga jam daripada Pagalungan ke Pekan Nabawan kini dipendekkan kepada sekitar satu jam setengah tanpa melalui jalan lama iaitu Jalan San San yang berisiko terutama tibanya musim tengkujuh.
Ketua Komuniti Madani Kampung Silungai Seri Lumorong, 41, berkata, jalan tersebut telah memudahkan urusan harian penduduk seperti urusan bekerja, menghantar anak-anak ke sekolah atau ketika berlakunya kecemasan.

Projek naik taraf Jalan Sapulut – Pagalungan yang kini hampir siap sepenuhnya untuk kegunaan penduduk.
“Akhirnya impian kami masyarakat Daerah Kecil Pagalungan menjadi realiti, kini perjalanan lebih mudah dan selamat tanpa melalui jalan lama (Jalan San San-Pagalungan) yang kerap kali rosak dan terputus lebih lebih lagi bila tibanya musim tengkujuh.
“Kalau dulu hanya kenderaan jenis pacuan empat roda sahaja yang boleh digunakan sebagai pengangkutan utama jalan darat, kini hampir semua jenis kenderaan termasuk motosikal sudah boleh melalui jalan ini,” katanya ketika ditemui semasa Program NADI X Komuniti Madani di Pusat Sebaran Maklumat (NADI) Kampung Lotong di sini pada Sabtu.
Tambahnya lagi, naik taraf jalan baharu ini diharap dapat memberi kesan yang lebih positif kepada ekonomi setempat selaras dengan perpindahan Ibu Kota Indonesia ke Kalimantan Timur.
“Dengan siapnya Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) kelak, Daerah Kecil Pagalungan akan menjadi sebahagian laluan utama pergerakan keluar masuk sempadan antarabangsa sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan di sini.
“Sosioekonomi Pagalungan akan berkembang pesat dengan penduduk kampung bakal mendapat peluang pekerjaan seperti pemandu pelancong atau mengusahakan rumah inap desa dan restoran di samping mengembangjan produk kraftangan tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang penduduk Kampung Silungai Bing Bakampil, 63, berkata, projek tersebut bukti bahawa kerajaan mengambil berat suara rakyat demi manfaat yang menyeluruh terutama golongan petani luar bandar.

Bing Bakampil (kiri) berkongsi pandangan mengenai manfaat jalan baharu bagi petani luar bandar dalam memasarkan hasil pertanian mereka.
“Terimakasih diucapkan kepada pihak kerajaan yang mendengar keluh kesah kami selama ini, dengan adanya kemudahan jalan baharu ini akan memudahkan lagi petani mengeluarkan serta memasarkan hasil pertanian seperti getah dan sawit.
“Jalan ini kelak akan merancakkan lagi aktiviti pertanian di kawasan luar bandar termasuk juga dengan pengeluaran hasil perikanan air tawar yang semakin giat diusahakan oleh penduduk setempat,” terangnya.
Pegawai Penerangan Daerah Nabawan Sam Mansibu pula berpendapat naik taraf jalan ini akan merancakkan lagi aktiviti turun padang serta pelaksanaan program yang telah dirancang oleh agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
“Dengan adanya jalan raya yang lebih selesa ini akan memudahkan lagi agensi kerajaan melaksanakan program dan membawa perkhidmatan yang berkesan serta efektif kepada masyarakat luar bandar.
“Akses jalan raya yang baik juga membantu kami menyampaikan maklumat atau dasar dasar kerajaan secara terus melalui pelbagai program kepada masyarakat selain memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan maklumat terkini dan inisiatif kerajaan,” jelasnya.
Hasil tinjauan Pejabat Penerangan Daerah Nabawan mendapati projek naik taraf Jalan Sapulut – Pagalungan kini hampir 90 peratus siap dan sudah mula digunakan oleh penduduk sekitar untuk aktiviti seharian.
-RJ-