
Laporan/foto: Shahmie Rozman (Hulu Selangor)
KUALA KUBU BHARU, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Setiap kali Ramadan, Masjid Jamek Ar-Rahimah Kuala Kubu Bharu tidak pernah sunyi dengan kehadiran ratusan warga Kuala Kubu Bharu (KKB) yang hadir berbuka puasa di sini.

Barisan perempuan yang sedang beratur mengambil juadah berbuka puasa
Tinjauan Malaysia Aktif mendapati lebih 400 penduduk terutamanya dari sekitar KKB, hadir menikmati juadah berbuka puasa secara percuma yang disediakan oleh pihak masjid.

Selepas selesai berbuka puasa semua menunggu untuk solat berjemaah di sini
Bagi mereka yang merantau dan bekerja di Kuala Kubu Bharu, masjid ini menjadi tempat persinggahan untuk berbuka dan menunaikan solat tarawih.
Penjawat awam yang juga seorang perantau di KKB, Mohammad Al Hakim Mohd Noordin, 33, berkata dia yang berkerja di sini dan tinggal di kawasan berhampiran masjid menjadikan masjid ini untuk berbuka puasa.
Tambahnya, lokasi masjid yang strategik dan kemudahan juadah percuma menjadikannya pilihan utama setiap kali Ramadan.
Menurutnya lagi, menu yang disajikan cukup menyelerakan nasi putih bersama daging masak lemak cili api serta ulam-ulaman, menjadikan waktu berbuka lebih bermakna.
Bagi Mohd Amirul Mohd Yusri, 27, dari Kalumpang pengalaman berbuka di masjid ini sudah masuk tahun ketiga baginya.
“Saya sanggup datang ke sini kerana suasananya yang tenang, sesuai untuk beribadah dan selepas berbuka, terus boleh solat tarawih berjemaah,” katanya.
Keberkatan Ramadan di Masjid Jamek Ar-Rahimah terus dirasai kerana ianya bukan sekadar tempat berbuka, tetapi juga merupakan pusat untuk mengeratkan ukhuwah dalam suasana penuh kemesraan.
-AA-