Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanLabuan

Jabatan Kesihatan Labuan Pantau Penjualan Makanan Sepanjang Ramadan

By 15 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/BES Labuan

LABUAN, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Jabatan Kesihatan Labuan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan terus menjalankan pemantauan ke atas makanan yang dijual sepanjang bulan Ramadan.

Menurut pengarahnya, Dr. Francis Paul usaha itu bagi memastikan kepatuhan terhadap standard keselamatan makanan yang ditetapkan, termasuk di bazar-bazar Ramadan.

Francis (dua dari kiri) turut menyampaikan Anugerah Gerai Bersih Contoh kepada 10 peniaga bazar Ramadan.

“Aktiviti pemantauan di sepanjang rantaian makanan telah dimulakan sejak sebelum Ramadan meliputi pemeriksaan ke atas sumber bahan mentah, tempat penyediaan makanan dan para peniaga yang telah dilesenkan oleh Perbadanan Labuan.

“Sebanyak 10 buah hotel yang menyediakan bufet Ramadan diperiksa dengan pengeluaran 2 Notis 32B melibatkan Peraturan 3(1), tidak mendaftar premis makanan dan Peraturan 11(1)(a) dibaca bersama Peraturan 22, siling dapur kotor,” katanya dalam satu kenyataan selepas membuat tinjauan di Bazar Ramadan Labuan Walk, semalam.

Jelasnya, pemeriksaan gerai bazar dimulakan pada 3 Mac lalu melibatkan 514 gerai makanan berlesen dengan Perbadanan Labuan.

Pemantauan dan kempen Jabatan Kesihatan Labuan memastikan kepatuhan terhadap standard keselamatan makanan.

“Bagi pensampelan makanan di bulan Ramadan, sebanyak 12 sampel makanan telah diambil pada 12 Mac 2025 dengan sembilan analisis mikrobiologi, tiga analisis kimia dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu.

“Kami ingin menasihatkan masyarakat agar mengamalkan konsep ‘Perhati dan Pilih’ semasa membeli juadah berbuka di Bazar Ramadan serta amalkan ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ sebelum makan bagi mengelakkan penyakit bawaan makanan seperti keracunan makanan,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda