
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Perbadanan Labuan
LABUAN, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Sebanyak RM300 ribu diagihkan kepada 1,500 orang asnaf dan fakir miskin di wilayah ini pada Program Nur Ramadan 2025.

Zaliha (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada golongan kurang berkemampuan.
Menurut satu kenyataan Perbadanan Labuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa menyerahkan bantuan wang tunai bernilai RM200 setiap orang kepada 300 asnaf termasuk anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka yang kurang berkemampuan dalam Program Nur Ramadan Peringkat Labuan 2025/1446H di Surau Annur Rahim Kampung Sungai Buton, di sini semalam.
“Manakala baki 1,200 orang lagi penerima sumbangan di Wilayah Persekutuan Labuan akan menerima agihan sumbangan secara berperingkat.
“Surau Annur Rahim Kampung Sungai Buton merupakan surau terpilih yang menerima sumbangan khas sebanyak RM5,000.00 daripada Jabatan Wilayah Persekutuan bagi bagi membantu menaik taraf fasiliti surau itu,” menurut kenyataan itu.

Zaliha (tengah) beramah mesra bersama salah seorang penerima bantuan Nur Ramadan 2025.
Menurut kenyataan itu lagi, Dr. Zaliha turut menyantuni dan bersahur bersama anak-anak Tahfiz dari Maahad Tahfiz Madrasah Al Ansar dan ahli kariah Masjid Sirajul Islam Kampung Tanjung Aru dalam Program Singgah Sahur.
“Beliau juga menyerahkan sumbangan kepada 41 orang anak tahfiz dan mudir serta sumbangan RM5000 kepada Maahad Tahfiz Madrasah Al Ansar selain sumbangan RM5,000 Jabatan Wilayah Persekutuan kepada Masjid Sirajul Islam,” menurut kenyataan tersebut.
-ZS-