Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

4,000 Karton Air Mineral Untuk Mangsa Banjir Tenom

By 17 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sahiman Rahman (Tenom)

TENOM, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Banjir yang melanda daerah Tenom baru-baru ini telah menjejaskan urusan seharian kira-kira 25,000 penduduk terutama dari segi mendapatkan bekalan air bersih.

Pegawai Daerah Tenom, Mas Syazwan Masood berkata, akibat krisis air tersebut, pihaknya menggerakkan sepenuhnya semua aset yang ada bagi menyalurkan bantuan bekalan air bersih dan air mineral kepada penduduk yang terjejas.

Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tenom, pihaknya turut menerima 4,000 karton air mineral daripada PETRONAS untuk diagihkan ke 20 buah kampung.

Siti Ayu (empat dari kanan) menyerahkan sumbangan air mineral kepada Mas Syazwan (tiga dari kiri) di perkarangan Pejabat Daerah Tenom di sini kemarin.

“Air mineral yang disumbangkan oleh PETRONAS ini adalah satu inisiatif untuk bersama-sama turun padang membantu dalam menangani isu ini demi kesejahteraan komuniti yang terkesan akibat masalah banjir.

“Sumbangan PETRONAS melibatkan seramai 1,300 Ketua Isi Rumah (KIR) dan kami merakamkan terima kasih khususnya kepada PETRONAS serta semua penderma atas sumbangan yang dihulurkan untuk membantu mangsa banjir di daerah Tenom,” katanya ketika ditemui pada Program Penyerahan Sumbangan di perkarangan Pejabat Daerah Tenom di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Kampung Kampung Bunut, Jubidol Lauseh percaya, bantuan air ini akan memberi manfaat kepada penduduk terutama untuk keperluan makan dan minum yang bersih.

“Saya sangat menghargai usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tenom serta pihak-pihak yang terlibat, yang bertungkus-lumus dalam menyelaraskan serta menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir.

Untuk makluman, agihan air mineral turut disertai oleh beberapa jabatan dan agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Darat Malaysia, Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tenom.

-RJ-

 

Tinggalkan komen anda