
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Tawau)
TAWAU, 17 Mac MalaysiaAktif – Sesi Tazkirah Ramadan wajar dimanfaatkan bukan sahaja medium untuk menyampaikan ceramah agama, juga sebagai platform meningkatkan pengetahuan masyarakat berkenaan isu semasa dalam negara.
Menerusi pengisian yang relevan, masyarakat yang berhimpun untuk menghadiri majlis ilmu ini akan didedahkan dengan pelbagai isu penting antaranya penipuan dalam talian dan bahaya penyebaran berita palsu.

Edaran Bahan Penerbitan – Nadzrie (kanan) bersama Ustaz Manaf (dua dari kanan) Bustan Made (dua dari kiri) dan Ag Marzuki di sini semalam.
Penolong Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Bustan Made Aming berkata, perkongsian bersama kelompok masyarakat akan lebih berkesan dengan adanya sesi pertanyaan bersama pegawai daripada agensi yang berkaitan.
“Maklumat yang betul dan sahih amat penting dalam era digital ini, daripada ini juga masyarakat perlu lebih peka terhadap sumber maklumat yang diterima dan memastikan ia benar sebelum disebarkan.
“Maklumat disampaikan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) pastinya lebih meyakinkan berhubung amalan baik dalam komunikasi seharian selain penggunaan Chatbot AIFA yang perlu diketengahkan kepada lebih ramai pengguna di kawasan perkampungan,” katanya semasa Program Jiwa@Komuniti Madani di Surau Al Ikhlas, Kampung Jawa Kongsi 10 di sini semalam.
Sementara itu, menurut Penceramah Tazkirah Ramadan, Ustaz Abdul Manaf Abdillah, program seperti ini amat penting dalam membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih harmoni dan berlandaskan ajaran Islam.

Solat berjemaah bersama penduduk kampung yang hadir pada program tersebut semalam.
“Ramadan adalah bulan penuh keberkatan. Ia bukan sahaja tentang berpuasa, tetapi juga tentang memperbanyakkan ibadah dan memperkukuh hubungan dengan Allah serta sesama manusia sekali gus menyemarakkan semangat persaudaraan dalam komuniti,” katanya.
Pengerusi Komuniti Madani Kg. Kongsi 10, Mohd Nadzrie Aikram Douglas percaya, topik terkini yang dibincangkan dalam setiap sesi tazkirah akan menarik lebih ramai jemaah hadir ke majlis ilmu terutama golongan belia.
“Kami amat berbesar hati melihat ramai yang hadir dan mengambil manfaat daripada program ini, perkara yang dikongsikan juga menyentuh kepada aktiviti seharian masyarakat pelbagai latar belakang usia, pengisian begini wajar di teruskan,” katanya.
Untuk makluman, program yang dianjurkan diisi dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan seperti khatam al-Quran, zikir dan Majlis Manaqib Syeikh Abdul Qodir.
Selain itu, edaran bahan penerbitan turut dilakukan, diikuti dengan majlis berbuka puasa, solat fardhu, solat tarawih berjemaah serta sesi moreh dan sembang santai yang menjadi platform untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli kariah.
-RJ-