
Laporan/foto: Mohammad Hafizee Md Hashim/Muhammad Azrul Hafiz Mohamad Nazri
KUALA LUMPUR, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Warga Lembah Klang dijemput untuk menyertai program Iftar@KL 2025 di Dataran Merdeka yang merupakan produk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sesi foto kenangan bersama Khairul Firdaus.
Objektif utama program anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang berlangsung selama empat hari pada 15, 16, 22 dan 23 Mac ialah bagi mengimarahkan dan memakmurkan Ramadan sebagai bulan beribadah dan keprihatinan sesama insan, merapatkan dan mengeratkan silaturahim serta toleransi antara kaum, menyemarakkan kebudayaan dan kesenian Islam kepada pelancong tempatan dan antarabangsa menerusi program Pelancongan Budaya (Culture Tourism).
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan, Iftar@KL 2025 ini merupakan salah satu pendekatan yang positif dalam memupuk nilai-nilai murni dan jati diri kepada masyarakat bandar dan khususnya generasi muda.
“Aktiviti seperti gotong-royong memasak bubur lambuk, program sukarelawan dan agihan bubur lambuk kepada golongan asnaf dan gelandangan merupakan tanggungjawab sosial kementerian ini ke arah mencerminkan Kerajaan MADANI demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar program Iftar@KL 2025 di Dataran Merdeka, di sini pada Sabtu.

Suasana sekitar Iftar@KL 2025 di Dataran Merdeka.
Menurutnya lagi, program ini akan diteruskan pada 22 dan 23 Mac ini dan ia merupakan penganjuran kali ke-13 sejak pelaksanaanya bermula tahun 2012.
Terdapat pelbagai pengisian program seperti Jom Exchange al-Quran, Tadarus al-Quran, Tazkirah Ramadan, Kaunter Zakat Fitrah dan Jualan Makanan Food Truck.
Antara rakan strategik yang terlibat dalam program ini ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kelab Warisan Seni Samudera, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kuala Lumpur Food Truck Entrepreneurs Association, Jabatan Penerangan dan turut mendapat sokongan dari Felda Global Ventures (FGV) dan Boh Plantation Sdn. Bhd.
-ZS-