
Laporan/Foto : Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Walaupun pada awal paginya cuaca terlihat tidak begitu mengizinkan, Program Juh Berambeh Sungkei – Perpaduan dalam Iftar berlangsung meriah di Padang Merdeka, Kuching pada petang Sabtu.

Program tersebut turut diselitkan dengan pemberian sumbangan kepada asnaf oleh Abdul Karim.
Sungkei, merupakan istilah Bahasa Melayu Sarawak yang membawa maksud berbuka puasa, telah mendapat sambutan hangat apabila disertai kira-kira 3000 masyarakat berbilang bangsa dan agama di Bandaraya Kuching.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Hamzah berkata program kali ini adalah anjuran Kelab Belia Proaktif dan merupakan edisi ketiga Juh Berambeh Sungkei.
“Program kali ini menampilkan sedikit kelainan apabila turut disertai Unit Hal Ehwal Agama –Agama Lain (UNIFOR) bagi mengeratkan silaturrahim di kalangan masyarakat majmuk di negeri ini,” kata beliau sebelum majlis.

Nooramiza Drahman hadir bersama keluarganya di Padang Merdeka, Kuching kemarin.
Seorang surirumah yang ditemui, Nooramiza Drahman, 34, berkata ini adalah kali pertama mereka sekeluarga menyertai program bersungkei di Padang Merdeka, Kuching.
“Sebenar ini adalah hasrat anak saya Alia Hazira, 8, yang ingin bersungkei di Padang Merdeka, Kuching dan alhamdulillah cuaca pada petang ini mengizinkan kami berada di sini,” katanya.
Nooramiza turut menyarankan program seperti ini diadakan tidak hanya di bulan Ramadan, bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan menyertai program seperti ini.

Natalie Haschinta (dua dari kanan) dan rakan-rakan yang lain, menemani Nur Eyman Latifah (dua dari kiri) dan Nuri Rabiatul Kasturi Yuslan (kiri) bersungkei kemarin.
Sementara itu, pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang sedang menjalani latihan industri, Natalie Haschinta, 24, menyokong penganjuran program tersebut.
“Program ini memberi saya peluang untuk bersua muka dan berinteraksi dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa dan agama di samping merasai pengalaman bersungkei,” ujarnya.
-RJ-