Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

MAKNA Giat Tingkat Kesedaran Awam Terhadap Kanser

By 19 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar (Nabawan)

NABAWAN, 19 Mac MalaysiaAktif – Majlis Kanser Nasional (MAKNA) berperanan sebagai pertubuhan sosial yang mengumpulkan usaha dan sokongan daripada masyarakat untuk melawan kanser dan mengurangkan penderitaan pesakit.

Justeru, melalui program Kempen Cakna Kanser, MAKNA berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit ini serta peranan penting yang dimainkan oleh organisasi dalam menyediakan bantuan kepada pesakit kanser.

Issey menerangkan kepada kakitangan JAPEN Nabawan berkenaan fungsi MAKNA di sini kemarin.

Pegawai Penyelaras Program Kempen Cakna Kanser, Issey Josephine Jimmy berkata, MAKNA mengambil inisiatif untuk turun padang ke setiap daerah di Sabah untuk memberi penerangan tentang kanser dan bantuan disediakan pihaknya dalam bentuk bantuan kewangan, rawatan, atau program kesedaran.

“Objektif utama penganjuran taklimat ini adalah untuk memberi penerangan mengenai peranan MAKNA melalui Kempen My Pledge Against Cancer (MPAC) bagi membantu pesakit kanser yang kurang berkemampuan.

“Kami berharap lebih ramai individu yang akan menyumbang pada masa akan datang kerana selain memberi sumbangan, mereka juga akan mendapat manfaat seperti pelepasan cukai untuk yang layak,” katanya dalam sesi taklimat Kempen Cakna Kanser di Pejabat Penerangan Daerah Nabawan, di sini pada Isnin.

Tambahnya, taklimat ini juga memberi peluang kepada orang ramai untuk membantu pesakit kanser melalui sumbangan berterusan melalui program MPAC, yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi menampung kos rawatan dan inisiatif kesedaran kanser.

“Pemeriksaan awal amatlah penting untuk kita mengetahui kondisi sebenar kesihatan kita, di samping sebagai langkah pencegahan awal kanser daripada terus merebak, inilah pentingnya pemeriksaan awal bagi pencegahan kanser.

Sam (duduk depan) bersama anggota JAPEN Nabawan mendengar penjelasan dan taklimat daripada MAKNA dalam program Kempen Cakna Kanser.

“Kami berharap pihak JAPEN khususnya di daerah Nabawan dapat membantu menyebarkan maklumat dan tips mengenai langkah pencegahan kanser, serta menguar-uarkan kempen yang sedang kami jalankan,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Nabawan, Sam Mansibu, menyambut baik langkah yang diambil oleh pihak MAKNA dalam memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kanser.

“Kami akan terus memberi kerjasama kepada pihak MAKNA untuk memastikan maklumat yang tepat sampai kepada penduduk luar bandar, khususnya mereka yang belum mengetahui peranan dan inisiatif yang disediakan oleh MAKNA untuk membantu pesakit kanser,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda