Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kukuhkan Nilai Perpaduan Melalui Majlis Berbuka Puasa

By 18 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:Mohammad Amirul Bin Dait/Maslizam Bin Sedek (Kuala Penyu)

KUALA PENYU, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Program Komuniti MADANI yang berlangsung di Kampung Purun Hulu menjadi bukti bahawa kepelbagaian agama bukan penghalang untuk hidup dalam harmoni.

Penduduk Kampung Purun Hulu bergotong-royong membersihkan balai raya dan Dewan Terbuka Kampung Purun Hulu kemarin.

Walaupun hampir 90 peratus penduduk kampung ini bukan beragama Islam, mereka tetap menyambut baik penganjuran Majlis Berbuka Puasa, mencerminkan semangat toleransi dan perpaduan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Purun Hulu, Michael Gani, menyifatkan majlis berbuka puasa di kawasan majoriti bukan Islam sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Kehadiran dan kerjasama penduduk kampung dari pelbagai latar belakang agama dalam menjayakan program ini benar-benar membuktikan semangat perpaduan kita di kampung ini.

Michael turut serta dalam Majlis Berbuka Puasa, menzahirkan sokongan terhadap keharmonian masyarakat pelbagai latar belakang.

“Kami amat menghargai inisiatif ini dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengukuhkan hubungan masyarakat, dan membuktikan bahawa perbezaan kepercayaan tidak menghalang keharmonian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di Kampung Purun Hulu di sini pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Kampung Purun, Juri Edoh percaya, program seumpama itu memberi pendedahan kepada masyarakat untuk lebih mengenali budaya bangsa lain di negeri ini.

“Terima kasih kepada Jabatan Penerangan Daerah Kuala Penyu atas usaha berterusan dalam menjayakan program komuniti seperti ini dan membantu mengukuhkan hubungan dalam kalangan penduduk, selain memupuk semangat kerjasama tanpa mengira latar belakang agama,” ujarnya.

Melihat kejayaan program berkenaan, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Penyu, Hamdan Tahir berkata, perpaduan yang wujud adalah dari sifat toleransi yang tinggi dikalangan penduduk kampung sendiri.

Gambar kenangan bersama AJK Komuniti MADANI Kampung Purun Hulu dan penduduk setempat.

“Kejayaan penganjuran program bukan hanya bergantung kepada usaha satu pihak, tetapi hasil daripada kerjasama dan komitmen seluruh komuniti.

“Dan ini membuktikan bahawa semangat kerjasama dan perpaduan dalam komuniti adalah kunci utama dalam menjayakan setiap inisiatif bersama,” ujarnya.

Selain daripada majlis berbuka puasa, program bersama Komuniti Madani itu juga dilaksanakan dengan menganjurkan aktiviti gotong-royong membersihkan dewan terbuka dan balai raya kampung berkenaan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda