
Laporan/foto: Suhaimi Nik Wil/Mohamad Azam Mat Awi (Kuala Krai)
KUALA KRAI, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Semakin Aidilfitri menghampiri, suasana di Kampung Lepan Jenut, Manek Urai, semakin meriah apabila peniaga lemang giat memenuhi permintaan pelanggan yang melalui Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang.
Lemang yang dijual di kampung ini masih mengekalkan harga antara RM4 hingga RM7 sebatang, bergantung kepada saiz buluh.
Dengan rasa yang autentik serta harga yang berpatutan, lemang di sini terus menjadi pilihan utama penduduk setempat dan perantau setiap kali musim perayaan.
Dikenali sebagai ‘Kampung Lemang’, kawasan ini menjadi tumpuan utama setiap kali musim perayaan apabila perantau dari kota pulang ke Kelantan dan singgah membeli lemang di sepanjang jalan bukan sahaja menjelang Aidilfitri tetapi juga pada hari biasa.

Zabidah peniaga lemang di Kampung Lepan Jenut.
“Lemang kami tidak bermusim, kalau bukan hari raya pun kami jual juga lemang.
“Tidak pernah kami tutup kedai, setiap masa ada, bukan hari raya sahaja,” katanya.
Bagi Zabidah Che Harun, 73, yang telah berniaga lemang selama 23 tahun, tiga hari menjelang Syawal adalah waktu paling sibuk buat dirinya dan ahli keluarga.
“Kebiasaannya, dua hari sebelum Syawal, kami akan bangun awal pagi untuk memproses dan membakar lemang kerana ramai pelanggan tetap serta pembeli baharu yang singgah,” katanya.
“Kalau bukan hari raya pun kami tetap berniaga dan pelanggan sentiasa ada untuk membeli lemang. Tetapi jumlah permintaan dan pelanggan meningkat bila tiba musim raya,” katanya.
Menurut Zabidah, setiap buluh lemang diisi dengan beras pulut yang dicampur santan bagi memastikan ia masak sempurna.
Resipi istimewa yang digunakan adalah warisan turun-temurun daripada arwah ibunya.
“Saya memilih daun pisang hutan sebagai pelapis dalam buluh kerana ia lebih baik berbanding daun lerek yang lebih menyerap santan,” katanya.

Zainuddin dari Gua Musang singgah membeli lemang di gerai milik Zabidah.
Seorang pelanggan tetap, Zainuddin Osman, 45, dari Gua Musang mengakui lemang Zabidah memiliki keistimewaan tersendiri.
“Setiap kali ke Kuala Krai, saya pasti akan singgah membeli lemang di sini.
“Rasa lemangnya memang unik dan berbeza daripada yang lain,” katanya.
Keunikan rasa serta kaedah tradisional yang masih dikekalkan dalam proses penyediaan lemang menjadikan hidangan ini sentiasa mendapat permintaan tinggi, baik dalam kalangan penduduk tempatan mahupun perantau.
Selain menjadi pusat jualan lemang, Kampung Lepan Jenut juga berperanan dalam mengekalkan warisan makanan tradisional Kelantan, menjadikannya bukan sekadar lokasi perniagaan, tetapi juga simbol kebanggaan budaya tempatan.
-ZS-