Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Meriahnya Kacau Dodol Sekampung 2.0

By 22 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azfa Saffie/Zalizan Yaacob

KUALA SELANGOR, 22 Mac (MalaysiaAktif) – Lebih 300 orang masyarakat pelbagai kaum dan peringkat umur menyertai Program Kacau Dodol Sekampung 2.0 anjuran Pertubuhan Sekretariat Perpaduan Ijok MADANI dengan kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Lim Siew Bee, kemeja T merah bersama peserta Kacau Dodol Sekampung 2.0

Sudah tidak asing lagi Dodol sebagai makanan tradisi turun temurun, zaman berzaman yang terkenal dengan keenakkan tersendiri.

Menteri Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata menerusi aktiviti kemasyarakatan, seperti aktiviti gotong-royong kacau dodol ni dapat memupuk semangat bekerjasama dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Seawal 2.30 petang pada Jumaat, Program Kacau Dodol Sekampung 2.0 bermula

“Bukan sekadar meriah dengan penyertaan sebanyak 21 kawah dodol daripada pelbagai agensi, pertubuhan dan kampung-kampung di dalam Parlimen Kuala Selangor, malah dapat saya rasakan kebersamaan dan kesepaduan masyarakat Tiong Hua dan juga India yang turut sama menyertai program,” katanya kepada Malaysiaaktif sejurus selepas merasmikan Program Kacau Dodol Sekampung 2.0 di sini, tengah malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor mengharapkan keharmonian dan kestabilan kesejahteraan ini dapat dihargai bukan sahaja di Kuala Selangor, malah seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah Program, Abdul Aziz Bisroo berharap lebih banyak detik-detik perpaduan seperti ini dapat dilaksanakan dalam mengekalkan semangat kekitaan.

“Tahun ini menyaksikan sebilangan besar peningkatan penyertaan berbanding 13 kawah sahaja pada tahun lalu, dan bersyukur dengan pelaksanaan program yang lancar. Dodol yang dimasak ini akan diedarkan kepada komuniti dan penduduk setempat,” katanya.

Salah seorang pengunjung Lim Siew Bee, 54, berkata beliau mengikuti program ini sebagai tanda sokongan dan semangat kebersamaan.

“Meskipun berlainan agama dan budaya, program ini dilihat mampu menyatukan perpaduan di antara kaum, tambahan pula dodol merupakan makanan tradisional yang pernah diperkenalkan mendiang nenek kepada kami sekeluarga satu ketika dahulu,” ujarnya dengan nada gembira.

-AA-

Tinggalkan komen anda