
Laporan/foto: Fauzrina Bulka (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 23 Mac (MalaysiaAktif) – Bubur Lambuk Alap Bana dalam bahasa Bajau bermaksud sesuatu yang baik mempunyai keunikan tersendiri dalam bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan makanan tradisional ini.

Sinah (kiri) dan Azean (kanan) membantu mengacau bubur.
Jika kita sudah biasa dengan rasa asli bubur lambuk dengan campuran isi daging dan udang kering, resepi warga Kampung Inanam Laut ini pula sedikit berbeza dengan menggunakan isi ayam, ikan masin dan ikan bilis sebagai penambah selera.
Menurut Ketua Syukbah Wanita Masjid Kampung Inanam Laut, Sinah Kahar, 66, idea tersebut digarap hasil daripada perbincangan bersama wanita di kampung berkenaan untuk menghasilkan menu bubur lambuk yang unik dengan air tangan tempatan.
“Wanita-wanita ini kebanyakannya ialah ‘orang dapur’ yang biasa menghasilkan makanan untuk keluarga. Jadi pelbagai idea yang timbul untuk menghasilkan menu ini.
” Ditambah lagi dengan kepelbagaian kaum antara kami seperti suku Bajau dan Dusun yang ada sini, maka terhasillah menu bubur lambuk versi Sabahan ini.
“Jika mendapat maklumbalas yang baik daripada penduduk kampung, mungkin ia boleh dijadikan hidangan wajib untuk dibuat setiap kali menjelang Ramadan,” ujarnya ketika ditemui pada Program JIWA@Komuniti Madani Mukim Menggatal di sini pada Ahad.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Peto Galim.

Ikan masin digoreng garing sebagai bahan sampingan.
Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Inanam, beliau turut mengedarkan sebanyak 400 bekas bubur lambuk kepada penduduk kampung.
Terdahulu program berkenaan dimeriahkan dengan aktiviti gotong-royong memasak, taklimat naratif isu-isu semasa oleh Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu, Nur Azean Makbul dan penyampaian sumbangan beras kepada 52 orang asnaf sumbangan ADUN.
Turut hadir bersama, Ketua Komuniti Madani Mukim Menggatal, Tuan Nickho Unui.
-RJ-