
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)
PENDANG, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kluster Pendang melakar strategi baharu untuk menarik minat orang ramai berkunjung ke NADI dengan mengadakan Bazar Raya sempena menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Antara pengunjung yang hadir memeriahkan Bazar Raya NADI Bukit Sekechong.
Ini merupakan kali pertama NADI mengadakan Bazar Raya secara serentak bukan sahaja di daerah Pendang malah NADI seluruh Malaysia turut menjalankan program yang sama semalam.
Pengurus NADI Kampung Paya Mengkuang Norilawati, memaklumkan bahawa program yang diadakan kelmarin bukan sahaja melibatkan pameran dan jualan produk usahawan tempatan malah pengunjung turut diberikan latihan asas penggunaan komputer, pemeriksaan kesihatan serta sesi taklimat yang melibatkan Taklimat Keselamatan Dalam Talian serta Taklimat Keusahawanan.
“Selain dapat membantu usahawan NADI memasarkan produk mereka, program ini juga dapat memberi dorongan kepada orang ramai untuk mengikuti latihan yang disediakan oleh NADI bagi membantu meningkatkan hasil pendapatan melalui perniagaan,” ujarnya.

Bazar Raya NADI Pekan Kubor Panjang turut mendapat sambutan hebat daripada warga penduduk.
Program yang bermula pada pukul 9.30 pagi itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dan bagi mereka yang telah mendaftar sebagai ahli NADI telah membawa pulang hadiah istimewa dan cenderahati khas daripada pihak NADI.
Mengambil kesempatan keberkatan bulan Ramadan, pihak syarikat pengurusan NADI turut menyampaikan sumbangan bakul Ramadan kepada golongan asnaf dan miskin.
-ZS-