
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 25 Mac (MalaysiaAktif) – Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah (PJKHRS) mengambil inisiatif untuk menyantuni 50 anak yatim dan asnaf dengan membawa mereka membeli baju raya baharu.

Anak-anak gembira mencuba pakaian raya baru dengan bantuan Sammie (dua dari kiri), yang turut serta dalam memberi sokongan kepada mereka.
Menurut Pengerusinya, Sammie Liew, program julung kali itu diadakan bagi meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan.
“Tahun ini, kami memilih untuk fokus kepada 50 kanak-kanak dan keluarga mereka, memberikan peluang kepada anak-anak ini memilih sendiri pakaian raya mengikut citarasa mereka. Melihat kegembiraan di wajah mereka sudah cukup bermakna buat kami.
“Selain itu, kami sedar ramai peniaga kecil berdepan cabaran besar, justeru PJKHRS memilih untuk bekerjasama dengan pemilik Ha Collection dalam menjayakan program ini. Dengan cara ini, kami bukan sahaja membantu anak yatim tetapi turut menyokong usahawan tempatan,” katanya ketika ditemui di sebuah pusat membeli belah di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Sammy turut menyeru masyarakat agar terus menyokong usaha NGO dalam membantu mereka yang memerlukan.

Salina bersama dua anaknya yang terpilih menerima pakaian baju raya baharu sumbangan daripada PJKHRS.
“Bagi mereka yang mempunyai rezeki lebih tetapi tidak tahu ke mana hendak disalurkan, boleh menghubungi NGO yang aktif seperti kami. Setiap sumbangan, kecil atau besar, sangat bermakna bagi golongan yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Salina Ahmad, 42, seorang suri rumah, meluahkan rasa syukur apabila dua daripada sepuluh anaknya terpilih untuk menerima baju raya baharu melalui program ini.
“Pendapatan suami sebagai buruh cukup untuk keperluan asas, tetapi agak sukar untuk berbelanja lebih bagi menyambut raya. Alhamdulillah, dua anak saya yang masih bersekolah rendah di Tanjung Batu kini boleh meraikan Aidilfitri dengan pakaian baharu,” katanya.
-RJ-