Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

26 Jenis Barangan Tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

By 25 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zayana Isa (Pahang)/KPDN Pahang

KUANTAN, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 26 jenis barangan tersenarai dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2025 yang berkuatkuasa 24 Mac hingga 7 April ini.

Tujuan pemantauan dilakukan bagi memastikan semua pihak terutama para peniaga dapat mematuhi harga-harga barangan yang telah diwartakan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang Sim Chon Siang, barangan yang terlibat akan dilabelkan dengan tanda harga berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna mengenal pasti barangan yang dikawal di bawah SHMMP HRP 2025 ini.

“Kementerian turut meningkatkan keberadaan pegawai-pegawai penguat kuasa di lokasi terpilih dan strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan yang menjadi tumpuan orang ramai bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan SHMMP ini yang mana pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya.

Tambahnya lagi, tindakan tegas akan diambil sekiranya ada peniaga yang tidak mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

Pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan peniaga mematuhi harga yang telah ditetapkan melalui skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti berdasarkan kepada kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Antara barangan yang disenaraikan dalam skim ini adalah daging kerbau import (India), ikan aya, ikan kembung, sawi hijau dan cili merah.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup www.kpdn.gov.my bagi menyemak harga maksimum bagi pemborong dan peruncit yang telah ditetapkan melalui skim ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda