
Laporan/foto: Nurul Ain/Politeknik Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Ramadan kali ini sekali lagi menyaksikan keprihatinan Politeknik Kuala Terengganu melalui program tahunan Sekampit Beras, Sekilo Gula yang kini memasuki edisi kesembilan serta terus membawa sinar kebahagiaan kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar Kuala Terengganu, kelmarin.

Nadzri (depan) bersama Sukarelawan YES Politeknik Kuala Terengganu
Menurut Pengarah Politeknik Kuala Terengganu Ts. Nadzri Che Kamis, sebanyak 62 bakul makanan berisi barangan keperluan asas hasil sumbangan warga politeknik telah diagihkan kepada penerima terpilih, termasuk pelajar, pekerja pembersihan, pengawal keselamatan serta penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Sebagai tanda kasih dan sokongan, 15 sukarelawan YES Politeknik Kuala Terengganu turun padang menyantuni setiap keluarga yang menerima bantuan, membawa lebih daripada sekadar keperluan asas tetapi juga semangat Ramadan yang penuh keikhlasan dan persaudaraan,” jelasnya.

Nadzri turut berkunjung ke rumah Fatimah Hamat, yang menjaga dua orang anak OKU
Beliau menegaskan bahawa program ini bukan sekadar tanggungjawab sosial tetapi juga satu pendidikan nilai untuk para pelajar.
“Inisiatif ini bukan sahaja mendidik pelajar malah mencerminkan semangat kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat. Kita mahu pelajar merasai sendiri pengalaman ini dan memupuk perasaan saling membantu sesama insan,” tambahnya.
Bagi penerima bantuan seperti Faridah Hamat, 58, seorang ibu tunggal yang membesarkan dua anak OKU, sumbangan ini ibarat rahmat yang amat dihargai.
“Bantuan ini sangat bermakna bagi saya dan anak-anak. Terima kasih kepada semua yang sudi membantu. Ia meringankan beban kami untuk membuat persiapan menjelang perayaan,” katanya.
Majlis agihan bantuan telah disempurnakan oleh Pengarah Politeknik Kuala Terengganu bersama Timbalan-Timbalan Pengarah.
Program ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi juga menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan, dan persaudaraan yang menjadi inti pati Ramadan.
Semoga semangat kebersamaan ini terus hidup, bukan sahaja dalam bulan Ramadan, tetapi sepanjang masa.
-AA-