
Laporan/foto: Azfa Saffie (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 150 orang mengikuti program ‘Baraan Jubli Intan Sambutan ke-75 Tahun Kampung Assam Jawa, di sini hari ini.

Meriah Baraan Kampung Assam Jawa dan tradisi ini perlu dikekalkan generasi akan datang.
Baraan atau dikenali sebagai ziarah beramai-ramai secara berkumpulan pada hari raya dan tradisi ini masih dikekalkan oleh masyarakat Islam berketurunan Melayu Jawa.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata tradisi ini akan terus dikekalkan dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan belia yang akan menjadi pemangkin generasi pada masa akan datang.
“Kita lihat hari ini meriah, ramai anak muda menyertai baraan dengan segak berbaju Melayu, ada yang bermotosikal, basikal tidak lupa juga yang berjalan kaki bagi meraikan Aidilfitri, bertanya khabar dan menziarahi yang uzur,” katanya kepada media sejurus menyempurnakan perasmian program baraan anjuran Komuniti MADANI Pekan Assam Jawa dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan
Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Assam Jawa dan Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Dzulkefly dan isteri Datin Seri Azlin Hezry dalam baraannya turut menyantuni beberapa warga emas iaitu Mohd Azman Zakaria, 70, yang mengalami keuzuran diaebabkan penyakit kronik paru-paru, Aminan Abdul Rahim, 80, yang uzur atas faktor usia dan Misrat Kasdi, 82, veteran politik.

Peserta baraan memenuhi dalam dan halaman rumah Aminan Abdul Rahim, Kampung Assam Jawa.
Sementara itu, Dzulkefly turut merasmikan ‘Rumah Sarapan’ milik pasangan Suharto Bakri dan Mortini Mesari iaitu sebuah rumah unik berkonsepkan minimalis yang meraikan para peserta baraan dengan juadah sarapan pagi menu tradisi sempena Hari Raya Aidilfitri.
Tetamu dihidangkan dengan pelbagai makanan tradisional, cabutan bertuah dan sumbangan duit raya sebagai menyuntik semangat generasi muda meneruskan tradisi turun-temurun ini.
-ZS-