
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/WBS
SHAH ALAM, 3 Apr (MalaysiaAktif) – Wanita Berdaya Selangor (WBS) mengambil inisiatif proaktif dengan menyalurkan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Anfaal bertanya khabar salah seorang mangsa yang berada di PPS Masjid Putra Heights.
Bagi menilai situasi dan memastikan bantuan disampaikan dengan segera, WBS turun padang meninjau keadaan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Bantuan yang diberikan merangkumi pakaian, susu kanak-kanak, tuala wanita, lampin pakai buang bayi serta kain sarung lelaki dan wanita bagi memenuhi keperluan asas mereka.
“Pihak Mydin juga bekerjasama dalam penyediaan serta penghantaran barangan ini bagi memastikan sumbangan sampai dengan cepat dan mencukupi,” menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Penyerahan rasmi bantuan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari di PPS Masjid Putra Heights dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Siti Faridah Abdul Samad serta barisan pengurusan.
Pada 1 April berlaku kebakaran melibatkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights telah mengakibatkan kemusnahan besar kepada kawasan perumahan berhampiran.
Laporan awal pihak berkuasa menyatakan bahawa kebakaran berpunca daripada kebocoran saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter yang mengakibatkan letupan serta kebakaran besar sehingga dapat dilihat dari jauh.
Laporan media turut menyebut bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Kerajaan Selangor dan agensi berkaitan untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa terjejas.

Anfaal bertanya khabar salah seorang mangsa yang berada di PPS Masjid Putra Heights.
WBS adalah syarikat milik Menteri Besar Selangor yang ditubuhkan pada 6 Januari 2021. Bertujuan memperkasa wanita di Selangor melalui pelaksanaan Dasar Wanita Selangor yang menyeluruh.
Ia memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu badan pemikir, pembinaan kapasiti dan program pemberdayaan wanita.
-ZS-