
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SHAH ALAM, 7 Apr (MalaysiaAktif) – Sebanyak 151 buah rumah terlibat insiden paip gas meletup di Putra Heights telah disahkan selamat dan pemiliknya telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pasukan teknikal juga telah mengenal pasti sebanyak 437 buah rumah terkesan dalam kejadian pada 1 April lalu.
“Pasukan teknikal turun dari rumah ke rumah dan melaksanakan proses pemeriksaan terhadap struktur dan kerosakan.
“Semua rumah ini diperincikan ke dalam tiga kategori iaitu musnah sepenuhnya (kebakaran struktur melebihi 40 peratus), separa musnah (kebakaran kurang daripada 40 peratus) dan terkesan tetapi tidak terbakar struktur,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media perkembangan terkini kejadian letupan gas Putra Heights di Wisma Annexxe, di sini hari ini.
Amirudin yang juga memaklumkan pasukan sukarelawan seperti SERVE dan Team Selangor telah membantu proses pembersihan dengan kebenaran para pemilik.
-ZS-