Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Projek Tanaman Bawang Pacu Ekonomi Tempatan, Jangka Penuhi Permintaan Pasaran

By 3 hari yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shafira Mat Hussin

BACHOK, 9 April (MalaysiaAktif) – Usaha untuk menangani isu kekurangan bekalan dan kenaikan harga bawang di pasaran tempatan mendapat suntikan baharu melalui pelaksanaan Projek Tanaman Bawang oleh Pertubuhan Cakna Insan Komuniti Gelong Badak, di bawah inisiatif Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).

Projek perintis yang dijalankan di atas tanah seluas dua ekar itu melibatkan penanaman sebanyak 40,000 benih bawang secara berperingkat.

Diharapkan hasil tuaian dapat diperoleh dalam tempoh matang antara 60 hingga 70 hari, sekali gus membantu menampung keperluan pasaran domestik.

Projek Tanaman Bawang dibawah variasi SejaTi MADANI yang diusahakan oleh Pertubuhan Cakna Insan Komuniti Gelong Badak.

Timbalan Pengerusi pertubuhan, Che Mahmood Hashim, 60, berkata pemilihan tanaman bawang sebagai projek utama dibuat setelah mengambil kira kesesuaian kawasan serta latar belakang masyarakat setempat yang kebanyakannya berpengalaman dalam bidang pertanian.

“Setelah berbincang dalam mesyuarat, kami sepakat memohon geran SejaTi MADANI dan memilih tanaman bawang kerana ia dekat dengan budaya pertanian penduduk di sini,” jelasnya.

Selain tanaman bawang, pertubuhan ini turut mengusahakan tanaman lada solok secara berkelompok bagi menggalakkan penglibatan komuniti dalam projek pertanian berdaya saing.

Projek tersebut dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan Haji Jasri Kasim, yang turut melakukan lawatan ke tapak tanaman di Kampung Gelong Badak.

Dalam ucapannya, Jasri menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif pertubuhan tersebut dan menyeru agar usaha diteruskan secara konsisten bagi memastikan kejayaan projek.

“Bawang adalah bahan asas dalam kebanyakan masakan rakyat Malaysia dan permintaannya sangat tinggi.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Cakna Insan Komuniti Gelong Badak Che Mahmood Hasim mengetuai lawatan ke sekitar tapak Projek Tanaman Bawang.

“Kebanyakan bekalan bawang negara masih bergantung kepada import, jadi projek seperti ini berpotensi mengurangkan kebergantungan tersebut dan memperkukuh ekonomi tempatan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pelbagai agensi kerajaan seperti Pusat Komunikasi Korporat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian dan FAMA Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedia memberikan khidmat nasihat serta sokongan teknikal bagi memastikan kejayaan projek ini.

Projek SejaTi MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 memberi tumpuan kepada lima sektor utama iaitu Pertanian dan Makanan, Jahitan dan Kraf Tangan, Herba dan Kesihatan, Pelancongan dan Hospitaliti, serta Aktiviti Hijau dan Kitar Semula.

Inisiatif ini dijangka terus memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi setempat menerusi pemberdayaan komuniti di seluruh negara.

-ZS-

Tinggalkan komen anda