
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SUBANG JAYA, 9 Apr (MalaysiaAktif) – Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah telah melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights hari ini.
Turut hadir isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Mohamad dan pengurusan BSMM.

Tunku Puteri Intan Safinaz melihat kit kebersihan diri yang disediakan BSMM untuk mangsa yang ditempatkan di PPS.
Lawatan tersebut menggambarkan komitmen BSMM untuk sentiasa bersama masyarakat yang terkesan akibat bencana bukan sahaja dengan bantuan kemanusiaan tetapi juga sokongan berterusan sepanjang proses pemulihan.
“Sejak berlakunya insiden, BSMM telah segera menggerakkan pasukan tindak balas kecemasan dengan menurunkan lebih 30 orang sukarelawan terlatih dari negeri Selangor dan Kuala Lumpur.
“Sukarelawan ini antara yang pertama tiba di lokasi kejadian untuk memberikan pertolongan cemas kepada mangsa melecur serta membantu pemindahan mereka yang cedera ke hospital berdekatan,” kata BSMM dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan berkenaan, lawatan meliputi tiga PPS iaitu Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Dewan Camellia Putra Heights dan Kuil Sri Mahamariamman.

(Dari kiri) Datin Seri Masdiana dan Tunku Puteri Intan Safinaz tekun mendengar taklimat daripada pegawai BSMM.
“Di PPS itu BSMM membantu menguruskan operasi pusat pemindahan dan menyokong keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
“BSMM turut mengagihkan barangan bantuan asas termasuk pek makanan, kit kebersihan diri termasuk tikar dan selimut selain pemeriksaan kesihatan asas,” jelasnya.
Kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, di sini pada 1 April lalu menggemparkan penduduk sekitar sehingga menyifatkannya bagaikan satu bencana gempa bumi yang dahsyat.
Impak kebakaran dengan api yang marak menjulang ke udara sehingga dapat dilihat sejauh beberapa kilometer dari lokasi kejadian.
-ZS-