Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Ahli Majlis MPT 2025 Angkat Sumpah, Siap Galas Tanggungjawab Baharu

By 2 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/ Mohd Maqdi Salleh (Tawau)

TAWAU, 10 Apr (MalaysiaAktif) – Seramai 24 orang Kaunselor Majlis Perbandaran Tawau mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan sebagai barisan baharu Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Sebahagian Ahli Majlis mengangkat sumpah lantikan bagi penggal 2025–2027.

Pelantikan barisan baharu ini disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh peranan Majlis Perbandaran Tawau selaku penyampai perkhidmatan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurut Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan I Sabah, Datuk Isnin Hj Aliasnih @ Liasni, pelantikan ini bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya merupakan tanggungjawab besar dalam membantu rakyat dan memajukan daerah Tawau.

“Ahli Majlis bukan hanya mewakili kawasan masing-masing, malah perlu menjadi mata dan telinga kepada PBT. Jalankan tugas dengan penuh integriti, prihatin terhadap masyarakat dan sentiasa turun padang untuk melihat realiti sebenar,” katanya ketika ditemui dalam majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Tawau 2025–2027 di Dewan Sri Tawau di sini pada Rabu.

Beliau turut menekankan kepentingan bekerjasama erat dengan Presiden dan warga kerja MPT dalam memastikan semua perancangan dan program pembangunan berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat.

Isnin menyerahkan watikah pelantikan kepada salah seorang Ahli Majlis di Dewan Sri Tawau di sini semalam.

“Saya menyeru agar semua Ahli Majlis menjadi pemudah cara antara masyarakat dan pihak berkuasa, serta berani melakukan transformasi demi memperkasakan PBT sebagai institusi yang dinamik dan efisien.

“Pelantikan ini adalah amanah. Jangan sesekali disalah guna untuk kepentingan diri, rakan mahupun keluarga. Utamakan keperluan rakyat,” ujarnya.

Turut hadir Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam DSP Abu Bakar Titingan, Ahli Parlimen P.190, Datuk Lo Su Fui dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Stanley Chong Hon Chung.

-RJ-

Tinggalkan komen anda