
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Ramlee Bohani (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 12 Apr (MalaysiaAktif) — Balai Serbaguna Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat yang telah siap sepenuhnya memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk menganjurkan aktiviti kemasyarakatan.

Menteri Besar Johor ketika berucap di hadapan lebih 2000 orang tetamu yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka DUN Kempas.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata fasiliti awam yang disediakan ini menjadi salah satu satu inisiatif kerajaan dalam menyediakan kemudahan infrastruktur khusus untuk rakyat.
“Balai Serbaguna yang baru saya rasmikan ini menjadi salah satu kemudahan untuk masyarakat di Pulai dan Johor Bahru amnya untuk menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan dan sosial di samping dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk dengan lokasinya yang strategik dan mudah untuk diakses.
“Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini juga menjadi salah satu simbol perpaduan berbilang kaum dalam satu rumpun dalam kepelbagaian perayaan bagi memastikan Bangsa Johor terus hidup dalam keadaan aman dan makmur,” katanya ketika berucap sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kempas di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini kelmarin.
Dalam pada itu Datuk Onn Hafiz, berkata Aidilfitri yang disambut ini juga perlu diraikan dengan kesyukuran agar mendapat keberkatan bersama selepas selesai menempuh bulan Ramadan lalu.

Onn Hafiz menandatangani plak perasmian Balai Serbaguna Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Nur Jazlan Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Datuk Mohd Haffiz Ahmad dan Pegawai Daerah Johor Bahru Masni Wakiman.
-ZS-