Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Dua Tahun Berlalu, Rakyat Masih Teruja dengan Jualan Rahmah

By 4 hari yang lalu13 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/ (Tawau)

TAWAU, 14 Apr (MalaysiaAktif)– Lebih dua tahun sejak diperkenalkan pada Januari 2023, Jualan Rahmah Bergerak disifatkan berjaya mengekalkan prestasi sebagai program yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Tidak hanya berpusat di kawasan bandar, jualan barangan bersubsidi ini diperluaskan di kawasan pedalaman sebagai usaha meringankan beban masayarakat terutama dari sudut kos logistik dan pengangkutan.

Orang ramai mengunjungi Jualan Rahmah Bergerak bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kongsi, Nasip Selamat, 64, Jualan Rahmah adalah peluang kepada rakyat berpendapatan rendah untuk berbelanja keperluan asas secara berhemat.

“Jualan Rahmah Bergerak sangat membantu penduduk kampung, terutama golongan berpendapatan rendah yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Ia menawarkan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan ayam pada harga subsidi.”

“Saya amat menghargai program seperti ini, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar. Dengan harga yang lebih murah, penduduk dapat membeli barangan keperluan untuk keluarga tanpa merasa terbeban,” katanya ketika ditemui semasa program tersebut di Kampung Kongsi, Tawau, kelmarin.

Mazuin (baju hitam) bersama penduduk gembira menerima barangan keperluan sempena Jualan Rahmah Bergerak, kelmarin.

Seorang lagi penduduk, Mazuin Misilan, 43, percaya ramai rakyat yang tiada pendapatan tetap atau bergaji hari merasai manfaat daripada Program Jualan Rahmah terutama Ketua Isi Rumah (KIR).

“Program ini adalah satu inisiatif kerajaan yang amat bermakna kepada komuniti setempat, sebagai rakyat saya sangat berterima kasih kerana program ini memudahkan kami membeli barang keperluan dengan harga yang lebih berpatutan.

“Sebagai ketua keluarga, mengurus perbelanjaan merupakan tanggungjawab penting, terutamanya dalam keadaan kos sara hidup yang tidak menentu. Program ini dilihat sebagai satu jalan penyelesaian, khususnya bagi mereka yang bergantung kepada pendapatan tidak tetap,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda