
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/ Mohd Maqdi Bin Salleh (Tawau)
TAWAU, 14 Apr (MalaysiaAktif)– Memasuki minggu kedua bulan Syawal, majlis rumah terbuka Aidilfitri masih giat dianjurkan di peringkat komuniti sebagai medan mengukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai lapisan kaum.

Edaran bahan penerbitan turut diadakan kepada penduduk kampung.
Selain menjadi tradisi tahunan, Komuniti Madani Kampung Batu Payung, Tawau, menganjurkan rumah terbuka dengan mengutamakan konsep kekitaan dengan melibatkan kerjasama Komuniti MADANI dan Pejabat Penerangan Daerah Tawau.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program seumpama ini adalah satu bentuk komitmen agar rakyat dan kerajaan dapat bekerjasama baik terutama membangunkan dalam membangunkan agenda negara serta negeri.
“Saya berharap agar masyarakat kampung tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menggugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Kestabilan politik penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan di bawah pelan hala tuju Sabah Maju Jaya, dan majlis ini juga menguatkan persefahaman antara penduduk sekali gus membentuk kawasan kejiranan yang bersatu padu,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI di Perkarangan kediaman Tuan Basir, Pusat Daerah Mengundi Tinagat, di sini semalam.
Sementara itu Pengerusi Komuniti MADANI Kg Batu Payung, Basir Yahya berkata, sambutan Aidilfitri kali ini berjaya mewujudkan ruang komunikasi terbuka antara penduduk serta memperkukuh nilai hormat-menghormati dan saling memahami.

Azuary berkongsi peranan Komuniti MADANI sebagai platform penyampaian maklumat kerajaan secara langsung.
“Ia menjadi wadah untuk masyarakat bertukar pandangan dan mengeratkan hubungan sesama sendiri dalam suasana penuh harmoni,” ujarnya.
Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abdul Azis berkata, apa pun program yang dianjurkan akan diisi dengan aktiviti bermanfaat terutama penerangan program terkini kerajaan secara bersemuka.
“Jabatan Penerangan menjadikan program ini sebagai platform untuk menyampaikan maklumat dasar kerajaan secara langsung kepada komuniti setempat, antarabya melalui pengedaran bahan penerbitan berkaitan keselamatan siber bagi mengekang penyebaran maklumat palsu,” jelas beliau.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Apas, Azriansyah Ali.
-RJ-