
Laporan/Foto: Genda Sating / Cassidy & Abdul Hakeem (Sarawak)
KUCHING, 15 Apr (Malaysiaaktif) – Para penduduk di kawasan Pending dan Padungan di sini kini boleh memanfaatkan kemudahan internet yang disediakan untuk aktiviti sosioekonomi dan kehidupan seharian mereka, susulan pembukaan dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang baharu semalam.

Teo Nie Ching beramah mesra bersama usahawan NADI di sini semalam.
Majlis perasmian NADI Padungan dan NADI Pending telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching sempena lawatan beliau ke kedua-dua NADI berkenaan.
Dengan penubuhan dua buah NADI tersebut, Sarawak kini mempunyai sebanyak 156 pusat NADI yang berperanan penting dalam merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi rakyat sejajar dengan objektif utama NADI sebagai pusat capaian internet kolektif, pemerkasaan komuniti, serta penyebaran maklumat yang tepat dan terkini.

Natalia bersama produk keropok tempe keluarannya.
Natalia, 42, salah seorang usahawan kerepek tempe yang ditemui di NADI Pending memberitahu sejak beliau bekerjasama dengan NADI awal tahun ini, jualan menunjukkan hasil yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Ia adalah disebabkan kerana NADI turut membantu dari segi promosi termasuklah penglibatan usahawan dalam program-program NADI serta peluang menempatkan produk jualan di NADI terlibat,” katanya semalam.
Manakala salah seorang pelajar SK St. Andrew, Ahmad Athmar Abdullah, 12, pula berkata, beliau sering datang ke NADI Pending selepas habis waktu sekolah dan pada musim cuti sekolah kerana pusat ini dekat dengan tempat tinggal beliau.
“Kemudahan komputer riba berserta talian internet secara percuma dan pantas memudahkan saya membuat rujukan dan menyiapkan kerja-kerja sekolah dengan lebih selesa dan cepat,” ujar Ahmad Athmar.

Ahmad manfaatkan kemudahan NADI Pending untuk siapkan kerja sekolah dengan lebih mudah dan pantas – semuanya dekat, percuma dan selesa.
Sementara itu, bagi seorang pesara guru, Vimala Devi, 60, yang ditemui di NADI Padungan memberitahu, beliau baru kali pertama menjejakkan kaki ke NADI hari ini kerana menemankan sepupu yang merupakan salah seorang usahawan muruku di bawah NADI.
“Bila sudah sampai di sini, saya mengambil peluang untuk mengenali secara lebih dekat perkhidmatan yang disediakan termasuklah, turut sama-sama membuat saringan kesihatan seperti membuat pemeriksaan gula dalam darah, tekanan darah, BMI, tinggi dan berat badan yang disediakan secara percuma di NADI,” katanya.
Penubuhan NADI merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk menyediakan kemudahan teknologi maklumat dan pembangunan komuniti serta komitmen serius kerajaan dalam memperluas pelaksanaan perkhidmatan pintar NADI, khususnya melalui inisiatif Program NADI x Keusahawanan yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.

Vimala Devi turut menjalani saringan kesihatan semasa kunjungan pertamanya ke NADI.
Di bawah teras ini, pelbagai program keusahawanan telah dirangka dan dilaksanakan, termasuklah NADIpreneur, yang menyediakan latihan asas perniagaan, bimbingan dan khidmat nasihat kepada peserta yang berminat menceburi bidang keusahawanan.
Antara komponen penting dalam program ini ialah NADIEmpowHER yang memberi fokus khas kepada pemerkasaan wanita dalam bidang keusahawanan menerusi pendedahan kepada ilmu perniagaan dan latihan kendiri.
-RJ-