
Laporan/foto: Mohammad Amirul Dait/Maslizam Sedek (Kuala Penyu)
KUALA PENYU, 15 Apr (MalaysiaAktif) – Masyarakat diseru untuk memanfaatkan sepenuhnya institusi komuniti setempat sebagai jambatan untuk mengeratkan kerjasama antara masyarakat dan agensi kerajaan.
Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah Abdul Rahman Yakub, berkata aktiviti kemasyarakatan misalnya mampu menjamin kesejahteraan bersama sekali gus menguatkan ukhuwah tanpa mengira bangsa dan agama.

Sekitar suasana program mencerminkan semangat Raya MADANI yang menyatukan komuniti.
“Program sebegini memainkan peranan penting dalam menyatupadukan rakyat. Aktiviti seperti ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga menjadi platform untuk memupuk semangat perpaduan serta kerjasama antara masyarakat dan agensi kerajaan bagi menjamin kesejahteraan bersama.
Ia bukan sahaja memperkukuh hubungan sesama penduduk, malah menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam usaha membina negara yang harmoni dan sejahtera,” katanya ketika merasmikan Program JIWA@Komuniti MADANI sempena Sambutan Raya MADANI di Dewan Tertutup Kampung Kekapor di sini pada Ahad.
Mewakili komuniti setempat, Mohammad Azmin Jamaludin, 46, yakin, program yang memberi keutamaan kepada masyarakat akan lebih berkesan dalam mengukuhkan persefahaman di sesebuah kawasan.
“Saya sangat teruja dengan segala persembahan dan aktiviti yang diadakan. Program seperti ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membawa masyarakat lebih dekat antara satu sama lain dan kami berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang demi mengekalkan keharmonian di daerah ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Penyu Hamdan Tahir, berkata program yang dirancang akan diselitkan dengan aktiviti yang bermanfaat selain mampu membimbing masyarakat ke arah gaya sosial yang lebih positif.

Hamdan menyerahkan hadiah kepada pengunjung bertuah.
“Kejayaan sesuatu program bukan hanya bergantung kepada usaha satu pihak, tetapi hasil komitmen dan penyertaan seluruh komuniti. Semangat kerjasama dan perpaduan inilah yang menjadi asas kepada kejayaan bersama,” katanya.
Untuk makluman, program tersebut diserikan dengan pelbagai pertandingan menarik termasuk Pertandingan Irama Aidilfitri dan Pertandingan Busana MADANI serta persembahan kebudayaan.
Program anjuran Komuniti MADANI Kampung Linsuk dengan kerjasama Kelab Belia Peneraju Inovasi Kampung Kekapor ini berjaya menarik penyertaan hampir 200 peserta yang terdiri daripada pemimpin tempatan, belia dan penduduk setempat.
-ZS-