Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah Tarikan Baharu Ekopelancongan di Kemaman

By 3 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shaik Mohamad Fikri Shaik Ismail (Kemaman)

KEMAMAN, 16 Apr (MalaysiaAktif) – Keindahan alam semula jadi waktu malam di Kemaman kini bertambah menakjubkan dengan siapnya projek Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah yang dijangka menjadi tumpuan baharu pelancong tempatan dan antarabangsa.

Aiman Athirah Sabu tekun mendengar penerangan mengenai spesies kelip-kelip yang terdapat di Santuari Kelip-kelip Kampung Kak Yah.

Menurut Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu, santuari ini dibangunkan oleh Jabatan Landskap Negara dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti jeti pelawat, surau, tandas, perkhidmatan bot serta papan informasi mengenai kelip-kelip.

“Dengan pelaburan sebanyak RM5.3 juta oleh Kerajaan Persekutuan menerusi KPKT, santuari ini bukan sahaja memelihara kelestarian habitat kelip-kelip, malah turut menawarkan pengalaman unik menyusuri Sungai Yak Yah sambil menyaksikan panorama ribuan kelip-kelip berkerlipan di malam hari.

“Pada 2018, terdapat 176 koloni kelip-kelip direkodkan di sini. Namun, jumlah itu menurun kepada 104 pada tahun 2021. Maka, bagi mengembalikan semula habitat semula jadi mereka, sebanyak 2,748 pokok telah ditanam di sepanjang sungai ini, termasuk pokok bakau, barembang dan nipah.

Keunikan suasana di Sungai Yak Yah ini menjadikannya lokasi ideal bagi pencinta alam.

“Hasil usaha pemuliharaan itu berjaya meningkatkan lebih 40 peratus populasi kelip-kelip, menjadikan kawasan ini habitat yang lebih kondusif untuk spesies tersebut terus berkembang biak,” ucapnya ketika merasmikan Santuari Kelip-Kelip Kampung Kak Yah, di sini kelmarin.

Tambah beliau, keunikan suasana di Sungai Yak Yah ini menjadikannya lokasi ideal bagi pencinta alam yang ingin merasai ketenangan malam dan keajaiban cahaya semula jadi yang menenangkan jiwa.

Acara perasmian turut menyaksikan kehadiran tetamu kehormat yang bersama-sama menyaksikan gimik pelancaran santuari yang bakal menjadi ikon ekopelancongan baharu Terengganu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda