Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

80 Peratus Rumah Musnah, 15 Mangsa Berlindung di Balairaya Kampung Moloson

By 3 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jaimis Kunjan/ Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan (Tambunan)

TAMBUNAN, 16 Apr (MalaysiaAktif) – Seramai 15 mangsa daripada tiga Ketua Isi Rumah (KIR) terpaksa berteduh sementara di Balairaya Kampung Moloson, Tambunan selepas rumah yang didiami mereka hangus dalam satu kebakaran pada pagi Selasa.

Operasi memadam kebakaran sedang dijalankan oleh pasukan bomba bagi mengelakkan kemusnahan lebih besar.

Biarpun rumah dua tingkat jenis separuh kekal tersebut musnah 80 peratus, namun tiada kecederaan yang serius atau kehilangan nyawa dilaporkan dan kesemua mangsa yang terlibat menanggung kerugian dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

Pemilik rumah, Jacob Supili, 56, berkata kejadian tersebut berlaku terlalu cepat dan tidak sempat mengluarkan sebarang harta benda selain berusaha menyelamatkan ahli keluarga masing-masing sebelum ditempatkan di pusat transit sementara.

“Kami sekeluarga tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda kerana api yang marak terlalu pantas dan tidak memberi ruang untuk bertindak, kami hanya sempat keluar menyelamatkan diri dengan sehelai sepinggang, hanya pakaian di badan yang ada,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Moloson di sini pada Selasa.

Sementara itu, bagi meningkatkan kesederan orang awam, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George mengingatkan, agar komuniti sentiasa peka dengan langkah-langkah penting untuk mencegah atau memadamkan kebakaran.

Pasukan penyelamat bertungkus lumus mengawal api daripada merebak ke kawasan sekitar di sini semalam.

“Kebakaran ini menjadi peringatan kepada komuniti tentang pentingnya langkah-langkah serta persediaan untuk menghadapi situasi kecemasan.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini, dan operasi turut mendapat bantuan daripada agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran yang melibatkan sebuah rumah berkeluasan 60×60 kaki, dan dianggarkan 80 peratus daripada struktur rumah terbakar, bagaimanapun siasatan punca kebakaran masih dijalankan,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda