Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Kebakaran di Pulau Bum-Bum: Enam Rumah dan Tiga Bot Musnah

By 17 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani/Abdul Muluk Mohd Yusup (Semporna)

SEMPORNA, 16 Apr (MalaysiaAktif) – Sekurang-kurangnya enam buah rumah musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Berjasa, Pulau Bum-Bum, di sini, pada Rabu.

Pegawai bomba dan penduduk kampung bersama-sama padamkan kebakaran di Kampung Berjasa, Pulau Bum-Bum.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Mohd Akhimullah Adan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.44 pagi dan menggerakkan seramai 10 anggota serta pegawai bomba bersama sebuah bot Kevlar ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan enam buah rumah jenis tidak kekal yang menyebabkan kemusnahan teruk. Kami menghadapi kesukaran berikutan rumah yang terlalu rapat, binaan kayu serta angin yang tidak menentu.

“Pasukan bomba sukar ke lokasi disebabkan air laut ketika itu surut dan bot tidak boleh sampai ke tempat kejadian. Sebaik tiba, kami mendapati enam buah rumah jenis tidak kekal sudah musnah terbakar. Turut terbakar adalah tiga buah bot,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Jelasnya, operasi pemadaman turut melibatkan bantuan daripada enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Abdul Muluk (dua dari kiri) bersama pasukan bomba dan penyelamat.

“Pasukan bomba menggunakan pam angkut untuk mengambil air laut sebagai sumber bagi operasi pemadaman. Pemeriksaan akhir turut dilakukan bagi memastikan lokasi selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.20 tengah hari,”ujarnya.

Menurut Mohd Akhimullah, pihak bomba kini sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kebakaran serta jumlah kerugian dialami oleh semua mangsa yang terlibat.

Sementara itu, selain bersimpati terhadap nasib mangsa kebakaran, Pengerusi Komuniti Madani Kampung Balimbang, Abdul Muluk Mohd Yusuff juga menasihatkan penduduk supaya sentiasa berhati-hati terutama mengendalikan bahan mudah terbakar.

PDRM, RELA dan APM bekerjasama dalam operasi memadamkan kebakaran api lokasi kejadian.

“Kebakaran ini amat menyedihkan. Setakat ini, kejadian hanya membabitkan kemusnahan harta benda sahaja dan tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa. Saya berharap semua pihak bersabar dan tabah menghadapi ujian ini.

“Masyarakat perlu peka dan berhati-hati dalam penggunaan api selain juga memastikan pendawaian elektrik dalam keadaan baik. Saya menyokong cadangan pihak bomba untuk mewujudkan pasukan bomba komuniti sebagai langkah pencegahan awal dalam mengelakkan kejadian serupa pada masa akan datang,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda