Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

JKPKK Johor Fokus Perkasa Penyampaian Maklumat dan Inisiatif Pendidikan

By 18 April 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azza Azmi/Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 18 Apr (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Komunikasi (JKPKK) Negeri Johor disarankan memberi tumpuan kepada usaha memperjelas peranan, fungsi serta bentuk bantuan dan sumbangan yang disediakan oleh Kerajaan Johor kepada masyarakat.

Aznan Tamin, menyarankan agensi kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperjelas peranan, fungsi serta bentuk bantuan dan sumbangan yang disediakan oleh Kerajaan Johor kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan negeri Aznan Tamin, berkata kerajaan negeri telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan, namun masih ramai rakyat yang tidak menyedari bantuan yang disalurkan.

“Usaha penyampaian maklumat perlu dipertingkatkan, sebagai contoh perkembangan projek Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang sedang giat dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif penambahbaikan.

“Projek ini tidak mengubah silibus sedia ada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebaliknya menambah nilai kepada kandungan pelajaran serta memperkasakan peranan guru dan meningkatkan keupayaan tenaga pengajar,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat JKPKK Negeri Johor di Pejabat Penerangan Negeri Johor, di sini kelmarin.

Tambah Aznan, hebahan maklumat juga perlu memberi tumpuan kepada pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sebuah inisiatif strategik kerjasama antara Malaysia dan Singapura.

Aznan Tamin bersama Saiful Hisham Mansor dan ketua-ketua jabatan serta wakil-wakil agensi dibawah Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Komunikasi (JKPKK) Negeri Johor.

“Pelaksanaan JS-SEZ ini bertujuan untuk merancakkan pembangunan ekonomi serantau serta memperkukuh hubungan rentas sempadan dan manfaatnya sudah pasti akan dirasai bersama warga tempatan,” katanya.

Turut hadir Pengarah Penerangan Negeri Johor Saiful Hisham Mansor, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Negeri Johor Nurzie Ibrahim, Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Negeri Johor Rohaizah Ahmad dan Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Johor Zainal Zakaria.

-ZS-

Tinggalkan komen anda