Skip to main content
Berita TimurBerita TempatanTerengganu

Anak-Anak Istimewa Disantuni Penuh Kasih dalam Program JIWA@Komuniti MADANI

By 11 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Badri Jusoh (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 18 Apr (MalaysiaAktif) – Suasana ceria dan penuh warna-warni menyelubungi Wellness Hub Telaga Daing, di sini kelmarin apabila lebih 30 anak-anak istimewa diraikan dalam Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA)@Komuniti MADANI anjuran Komuniti MADANI Telaga Daing.

Program yang bertemakan kasih sayang dan keterangkuman ini berjaya menyatukan komuniti setempat dalam satu misi memberikan ruang, perhatian dan penghargaan kepada anak-anak dari Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) sekitar Kuala Nerus.

Wan Khairani mahu golongan istimewa ini diberi perhatian dan menghargai mereka di dalam masyarakat.

Menurut Pengerusi Komuniti MADANI Telaga Daing Wan Khairani Wan Husin, program ini bukan sekadar hiburan, tetapi manifestasi kasih sayang komuniti terhadap golongan istimewa.

“Pelbagai aktiviti interaktif dan mesra disusun khas, termasuk seni dan kraf, sukaneka ringan, persembahan bakat serta sesi motivasi untuk ibu bapa, semuanya bertujuan memperkasa potensi anak-anak istimewa dalam suasana yang menyeronokkan.

“Kami mahu anak-anak ini tahu mereka disayangi dan dihargai. Mereka berhak untuk bersinar dan melalui program seperti ini, kita bina jambatan kasih antara mereka dan masyarakat,” katanya.

Turut hadir memeriahkan program ialah ahli keluarga, guru pemulihan serta sukarelawan pelbagai latar belakang menandakan sokongan padu terhadap inisiatif inklusif ini.

Wan Muhammad Haidid gembira dan mengharapkan komuniti setempat lebih kerap melibatkan golongan istimewa di dalam program-program akan datang.

Antara peserta yang mencuri perhatian ialah Wan Muhammad Haidid Irfan Wan Zainury, 23, yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.

“Saya sangat seronok! Dapat ramai kawan, buat aktiviti menarik, semua orang layan saya dengan baik,” ujarnya dengan senyuman ceria.

Program turut menerima kerjasama erat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menerusi Wellness Hub Telaga Daing, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Nerus.

Sebagai tanda sokongan dan penghargaan sumbangan istimewa turut disampaikan kepada semua peserta, simbol kecil tetapi bermakna dalam menyemarakkan semangat dan keyakinan mereka.

-ZS-

Tinggalkan komen anda